Anwar: CSA dengan pembangkang bukan perkara janggal

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 7:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Anwar: CSA dengan pembangkang bukan perkara janggal

Anwar tegaskan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bukan perkara janggal kerana pernah dilaksanakan kerajaan terdahulu semasa PN dan BN mentadbir.

KUALA LUMPUR: Pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dan pihak pembangkang bukan sesuatu yang janggal, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata sebaliknya perjanjian itu berasaskan kaedah persefahaman yang pernah dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu ketika Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.

Anwar berkata ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri ketika itu, satu persefahaman seumpama itu turut dimeterai.

“Ini bukan peraturan kita sekarang. Ini peraturan yang diguna pakai oleh kerajaan dahulu yang disertai Bersatu, PAS dan tentunya BN.

“Jadi tidak ada sesuatu yang janggal. Selama ini saya kata ada persefahaman dan kita luluskan. Walaupun masih diserang seolah-olah kita menyekat peruntukan, (ia sebenarnya) tidak,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, di sini hari ini.

Mengulas dakwaan penganalisis politik bahawa CSA berkemungkinan menjadi peringatan kepada komponen Kerajaan Perpaduan supaya tidak menarik sokongan atau berpaling tadah, Anwar berkata perkara itu merupakan tafsiran politik yang tidak boleh dipertikaikan.

“Itu tafsiran politik, itu tak boleh kita pertikai. Memang boleh berlaku tetapi saya nak beritahu ini bukan sesuatu yang janggal. Selain itu, persefahaman seumpama ini juga berlaku dalam banyak negara demokrasi,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata mekanisme peruntukan Ahli Parlimen itu akan dilaksanakan berdasarkan belanjawan yang sedang dibahaskan di Parlimen ketika ini.

“Peruntukan itu ikut belanjawan yang dalam perbahasan di Parlimen sekarang dan sebaik diluluskan akhir tahun ini, kita boleh salur ikut persefahaman,” kata beliau.

Ditanya mengenai tempoh penyaluran peruntukan berkenaan, Anwar berkata ia boleh dilaksanakan sebaik sahaja belanjawan diluluskan Parlimen.

Beliau berkata CSA yang ditandatangani menjadi landasan memperkukuh kestabilan politik serta memastikan urusan pentadbiran negara berjalan lancar.

Perdana Menteri berkata perjanjian itu juga membuka ruang kepada pelaksanaan agenda pembangunan negara termasuk Belanjawan 2027 secara berkesan demi kepentingan rakyat.

Semalam, kerajaan menandatangani CSA dengan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh yang lain termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di bangunan Parlimen.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved