Anwar mahu runding semula dengan Anthony berkaitan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 10:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anwar mahu runding semula dengan Anthony berkaitan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan
Anwar berucap pada program Sembang Santai di Ayer Molek pada Khamis. Foto Bernama

MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu berunding semula dengan Anthony Loke berkaitan peletakan jawatan Ahli Parlimen Seremban itu sebagai Menteri Pengangkutan.

Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau belum membuat keputusan berkaitan surat peletakan jawatan Anthony yang telah diterimanya sebelum ini.

"Ya, memang saudara Anthony ada tulis surat kepada saya letak jawatan serta-merta, tetapi saya sebagai Perdana Menteri belum terima peletakan jawatan dia.

"Jadi, ketika ini, dia nak cuti sekejap, okey. Tetapi, peletakan jawatan kita kena runding semula,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Jelajah PH, Melaka Rumah Kita di Bukit Baru, di sini pada Khamis.

Anwar berkata, Anthony mempunyai rekod pentadbiran yang bersih dan amanah, selain bekerja kuat membawa pelbagai inisiatif pada peringkat Kementerian Pengangkutan bagi manfaat rakyat.

"Kita lantik (Anthony) menteri, menteri itu amanah, bersih. Menteri itu kerja kuat. Menteri itu beri banyak cadangan, projek, program untuk memudahkan perjalanan rakyat dan juga pemandu-pemandu teksi.

"Beliau antara menteri paling kuat bekerja, diterima baik oleh pegawai-pegawai di kementerian. Jadi, sebab itu saya kata orang macam ini yang baik, dia orang (mereka) suruh berhenti. Yang teruk, dia suruh kekal. Apakah dunia ini sudah terbalik?” katanya.

Anthony pada Selasa memaklumkan peletakan jawatan beliau berkuat kuasa serta-merta, selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved