
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Sabah terus mengekalkan kestabilan politik dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan serta pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata keyakinan pelabur bergantung kepada kestabilan politik sesebuah negara serta keupayaan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan.
“Jika tiada kestabilan, orang tidak akan melabur. Jika tiada kestabilan, sukar untuk kita memberi tumpuan kepada pembangunan,” katanya.
Anwar berkata kestabilan politik Malaysia serta hubungan baik yang terjalin dengan pelbagai negara turut menyumbang kepada peningkatan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap negara ini.
Menurutnya, Malaysia berjaya mengekalkan hubungan baik dengan kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat dan China di samping memastikan suasana politik domestik kekal stabil.
“Mereka melihat kita sebagai sebuah negara yang mempunyai politik yang stabil,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan menegaskan kerjasama erat antara Putrajaya dan kerajaan negeri penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar.
“Saya fikir cukuplah kita bertelagah dalam pelbagai isu. Politik negara mesti kekal stabil,” katanya, sambil meminta rakyat Sabah terus memberi kerjasama bagi memastikan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan kekal kukuh.
“Saya meminta rakyat Sabah terus memberikan kerjasama supaya hubungan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh,” katanya.
Anwar turut menolak kritikan berhubung perbelanjaan pembangunan di Sabah dan Sarawak dengan menyatakan masih terdapat pihak, khususnya Ahli Parlimen dari Semenanjung, yang tidak memahami cabaran sebenar dihadapi kedua-dua negeri itu.
Beliau berkata ada pihak mempersoalkan mengapa perbelanjaan pembangunan di Sabah dan Sarawak lebih tinggi tanpa memahami keadaan sebenar di lapangan.
“Mereka tidak melalui sendiri jalan raya, lebuh raya dan kawasan yang masih belum menikmati bekalan elektrik atau bekalan air yang mencukupi,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu menjadi asas kepada keperluan meneruskan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam di kedua-dua negeri.
Anwar berkata pembangunan seimbang kekal menjadi prinsip utama Kerajaan Madani bagi memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman tidak terus tercicir.
“Selagi manfaat pembangunan tidak sampai ke setiap pelosok negeri, daripada bandar yang pesat membangun hingga ke daerah paling pedalaman, pembangunan itu belum benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.






