
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkenang jasa Allahyarham Kapten Zainol Afiq yang pernah menerbangkan beliau ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Anwar berkata, kenangan tersebut kembali menerpa ketika beliau menghubungi bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad bagi menyampaikan salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa.
“Tatlaka menghimbau kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan saya ketika kempen PRU15 lalu menjadikan saya sangat tersentuh dan mengesankan sanubari yang terdalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar, kehilangan Kapten Zainol merupakan satu ujian yang amat berat, khususnya buat keluarga dan anak-anak Allahyarham yang masih kecil.
“Saya titipkan doa agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada keluarga ini untuk terus melangkah menghadapi hari-hari mendatang,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan Kerajaan Madani akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga empat mangsa lain mendapat perhatian sewajarnya.
“Lantaran itu, Kerajaan Madani akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain didukung dan diberi pembelaan sewajarnya,” katanya.
Anwar turut menitipkan ingatan dan doa buat seluruh keluarga serta waris kesemua lima mangsa maut dalam tragedi helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF yang terhempas dan terbakar di Long Lellang, Sarawak, petang semalam.
“Semoga Allah SWT mengasihani mereka, mengampun segala dosa mereka, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan para syuhada.
“Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara. Al-Fatihah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar terkenang jasa Kapten Zainol ketika kempen PRU15 appeared first on Kosmo Online.





