Anwar tidak setuju UMNO bayar denda RM50 juta Najib, rasuah tiada kompromi

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 4:20 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Anwar tidak setuju UMNO bayar denda RM50 juta Najib, rasuah tiada kompromi

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan tindakan UMNO membayar denda RM50 juta bagi pihak Datuk Seri Najib Tun Razak, sambil menegaskan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak boleh dipandang ringan atas dasar persahabatan.

Anwar berkata hubungan baik dan semangat persahabatan dengan bekas perdana menteri itu tidak seharusnya menimbulkan persespi dalam kalangan rakyat bahawa kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan nilai berbilion ringgit boleh dibiarkan tanpa ketegasan.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan UMNO berhubung pembayaran denda itu merupakan hak parti dan kerajaan menghormati proses undang-undang serta keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dari segi perlembagaan.

“Pandangan peribadi, saya tidak setuju kerana sementara kita ada semangat persahabatan dengan Datuk Seri Najib, tapi itu tidak harus memberi gambaran kepada rakyat bahawa kegiatan rasuah yang mencecah bilion ringgit itu boleh dibiarkan begitu rupa.

“Apa yang kita nak didik kepada anak-anak kita? Satu prinsip akhlak yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas, Ampang dekat sini hari ini.

Terdahulu, UMNO mengumumkan penutupan rasmi akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas jumlah sumbangan diterima mencapai sasaran dan mencukupi.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan berkata parti itu juga telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau berkata tabung yang dilancarkan pada 18 Sept lepas itu bertujuan menerima sumbangan orang ramai menerusi kaedah pendanaan awam (crowdfunding) bagi membantu bekas perdana menteri dan presiden UMNO itu.

Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pegawai khas kepada Najib, Ahmad Lutfi Azhar hadir di mahkamah pada 11.30 pagi bagi menyelesaikan urusan pembayaran tersebut dan melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum pembayaran itu dimuktamadkan.

Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Sept lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved