Warna sebenar UMNO begitu terserlah – Tony Pua

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 4:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Warna sebenar UMNO begitu terserlah – Tony Pua

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaudit dana RM50 juta diperoleh UMNO untuk membayar denda yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, audit itu penting bagi memastikan semua dana yang dikutip adalah sah dan bukan wang haram.

“Lebih penting lagi saya menyeru BNM dan SPRM supaya mengaudit jejak wang yang masuk ke dalam akaun derma UMNO untuk Najib, bagi memastikan segala dana yang diraih adalah sah dan bukannya hasil pengubahan wang haram.

“UMNO mendakwa berjaya mengumpul RM50 juta untuk membawa pulang penjenayah terbesar Malaysia, Najib Razak bagi menjalani tahanan di rumah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pua berkata, dana itu sepatutnya boleh digunakan untuk membantu rakyat biasa, namun parti itu sebaliknya memilih untuk ‘membebaskan’ Najib.

“Warna sebenar UMNO tampak begitu terserlah,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan supaya melihat warna sebenar UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Kenyataan itu susulan pengumuman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa parti berkenaan sudah melunaskan denda RM50 juta selepas Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada September lalu mencapai sasaran.

Najib ditempatkan di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, sebelum Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengurangkan hukuman itu pada Januari 2024 kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Pada 18 September lalu, Najib dikurniakan pengampunan bersyarat lanjutan yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Ia tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat-syarat lain yang ditetapkan.

The post Warna sebenar UMNO begitu terserlah – Tony Pua appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved