
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang selepas berjaya menamatkan penantian 16 tahun untuk muncul juara dalam acara keirin lelaki Sukan Komanwel.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, kejayaan itu membuktikan kesungguhan, ketabahan dan semangat juang yang sentiasa dipamerkan Azizulhasni sepanjang mewakili negara.
“Syabas dan tahniah Datuk Mohd. Azizulhasni Awang atas kejayaan bersejarah menamatkan penantian selama 16 tahun untuk bergelar juara Sukan Komanwel menerusi acara keirin lelaki.
“Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan, ketabahan dan semangat juang yang tidak pernah luntur, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa serta menyuntik inspirasi kepada seluruh rakyat,” katanya.
Untuk rekod, Azizulhasni mula memenangi pingat Sukan Komanwel menerusi gangsa keirin di Melbourne pada 2006 sebelum meraih perak pada edisi New Delhi 2010 dan Glasgow 2014.
Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ itu kemudian sekali lagi membawa pulang pingat perak di Birmingham 2022 sebelum akhirnya menamatkan penantian 16 tahun dengan merangkul pingat emas dalam acara keirin lelaki pada edisi kali ini. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar ucap tahniah Azizulhasni, tamat penantian 16 tahun appeared first on Kosmo Digital.






