
PETALING JAYA: Kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang atas kejayaan bersejarah muncul juara acara keirin lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 adalah hasil kesungguhan, ketabahan dan semangat juang yang tidak pernah luntur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu menamatkan penantian selama 16 tahun buat Mohd Azizulhasni, yang digelar “The Pocket Rocketman”, untuk bergelar juara keirin Sukan Komanwel.
“Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan, ketabahan dan semangat juang yang tidak pernah luntur, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa serta menyuntik inspirasi kepada seluruh rakyat,” kata Anwar menerusi aplikasi X hari ini.
Terdahulu, Mohd Azizulhasni meraih emas acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow awal pagi tadi, (Jumaat malam waktu Scotland).
Beliau mengalahkan pelumba Australia, Leigh Hoffman dan wakil England, Harry Ledingham-Horn, yang masing-masing meraih perak dan gangsa.
Kejayaan itu juga menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia di Glasgow 2026, selain menjadi emas sulung skuad berbasikal trek negara pada temasya kali ini. – UTUSAN
The post ‘Kejayaan Azizulhasni inspirasi rakyat Malaysia’ appeared first on Utusan Malaysia.






