Anwar ucap tahniah kepada Hakim Danish muncul juara GP Czech

21 Jun 2026 • 8:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anwar ucap tahniah kepada Hakim Danish muncul juara GP Czech
Anwar mengucapkan tahniah kepada Hakim Danish raih kemenangan bersejarah Moto3 di GP Czech. Foto fail Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli atas kejayaan meraih podium utama di Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno pada Ahad.

"Tahniah Hakim Danish! Langkah masih panjang, terus cipta lebih banyak kejayaan," kata beliau menerusi hantaran di platform X.

— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) June 21, 2026

Kejayaan pelumba berusia 18 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu, menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk menyaksikan kemenangan wakil negara dalam saingan Moto3.

Kali terakhir Malaysia memenangi saingan Moto3 menerusi Khairul Idham Pawi pada GP Argentina dan GP Jerman musim 2016.

Kejayaan itu merupakan penampilan kedua Hakim Danish di podium musim ini, selepas mencuri tumpuan apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello di tempat ketiga, bulan lepas. - Bernama