
PETALING JAYA: ASEAN Online Sales Day (AOSD) 2026 Edisi Malaysia menjadi platform untuk memperkasa perniagaan tempatan memanfaatkan e-dagang bagi mengukuhkan pasaran domestik serta menembusi pasaran ASEAN dan global.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, inisiatif yang dilancarkan pada 7 Ogos lalu itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam memperkukuh agenda perdagangan digital negara.
Katanya, e-dagang kini menjadi pemangkin penting dalam memudah cara perdagangan serta meningkatkan daya saing pengeksport Malaysia di pasaran serantau dan global.
“AOSD bukan sekadar promosi dalam talian yang berlangsung selama sehari, sebaliknya bertujuan mewujudkan peluang jangka panjang kepada perniagaan Malaysia untuk menerima pakai perdagangan digital, memperkukuh daya saing serta berkembang secara mampan ke pasaran serantau dan antarabangsa.
“Program ini juga menjadi pemangkin untuk mempercepatkan lagi perdagangan intra-ASEAN.
“Pada masa ini, perdagangan intra-ASEAN merangkumi kira-kira 25 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN dan ruang untuk pertumbuhan adalah amat besar,” katanya dalam kenyataan.
AOSD yang diadakan setiap tahun bersempena Hari ASEAN pada 8 Ogos merupakan inisiatif serantau di bawah Jawatankuasa Penyelarasan ASEAN mengenai Perdagangan Elektronik (ACCEC).
Ia bagi menggalakkan e-dagang rentas sempadan, memperkukuh kerjasama perdagangan digital serta membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan berhubung dengan pengguna di seluruh ASEAN.
Beliau berkata, kempen tahun ini menghimpunkan agensi kerajaan, platform e-dagang, penyedia logistik, syarikat pembayaran digital, penyedia penyelesaian teknologi dan persatuan perniagaan bagi mewujudkan lebih banyak peluang komersial kepada perniagaan Malaysia.
Menurut laporan Google-Temasek-Bain e-Conomy SEA 2025, pasaran e-dagang Asia Tenggara mencatat nilai dagangan kasar (GMV) dianggarkan AS$185 bilion pada 2025, sekali gus menjadi segmen terbesar ekonomi digital rantau berkenaan.
Dengan lebih 600 juta pengguna, ASEAN menawarkan peluang besar kepada perniagaan Malaysia untuk berkembang menerusi perdagangan digital rentas sempadan.
Potensi itu turut disokong Kajian Impak Program eTRADE 2.0 Matrade bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang mendapati ASEAN muncul sebagai destinasi eksport utama yang berjaya ditembusi penerima manfaat program.
Dalam pada itu, AOSD 2026 mendapat sokongan 39 rakan kongsi ekosistem termasuk platform e-dagang, penyedia logistik, pembayaran digital, teknologi dan persatuan industri.
“Kerjasama itu mencerminkan usaha Matrade membangunkan ekosistem perdagangan digital yang lebih kukuh bagi membantu perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menembusi pasaran baharu serta meningkatkan eksport menerusi e-dagang.
“Walaupun kempen AOSD berakhir pada 8 Ogos lalu, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan Matrade untuk memperkukuh ekosistem perdagangan digital negara.
“Menerusi program pembangunan pengeksport secara berterusan, kerjasama strategik industri, pembangunan keupayaan digital serta fasilitasi pasaran rentas sempadan, MATRADE kekal komited untuk menyokong perniagaan Malaysia sepanjang perjalanan eksport mereka,” katanya. – UTUSAN
The post AOSD 2026 perkasa perniagaan tempatan tembusi pasaran ASEAN appeared first on Utusan Malaysia.






