Bell Popcorn tembusi pasaran runcit, korporat

Business & Finance
10 Aug 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bell Popcorn tembusi pasaran runcit, korporat

BERMULA dengan menghasilkan berith jagung atau popcorn di rumah pada 2019, Bell Popcorn kini berkembang menjadi jenama makanan ringan tempatan yang berjaya menembusi rangkaian peruncitan utama serta pasaran korporat termasuk syarikat penerbangan.

Pengasas Bell Popcorn, Firzah Puasa berkata, sebelum bergelar usahawan dan berkhidmat selama kira-kira 10 tahun dalam bidang pemasaran, termasuk di sebuah syarikat automotif di Kuala Lumpur dan syarikat hartanah di Bangi.

Katanya, pengalaman mengurus penyewa di pusat beli-belah menjadi titik tolak untuk dia menceburi dunia perniagaan.

“Ketika bekerja mengurus pusat beli-belah, saya banyak berinteraksi dengan para usahawan. Dari situ timbul inspirasi untuk membina perniagaan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Firzah berkata, selepas meninggalkan kerjaya makan gaji pada 2018, perniagaan pertama yang diceburi ialah perniagaan sandwich sebelum beralih kepada penghasilan popcorn pada Februari 2019.

“Saya memang meminati jagung. Selepas membuat kajian dan mempelajari cara menghasilkan popcorn, saya memulakan operasi dari rumah sebelum berpindah ke sebuah premis kecil selepas enam hingga tujuh bulan,” ujarnya.

Firzah berkata, sejak awal lagi dia meletakkan aspek halal sebagai keutamaan kerana percaya pensijilan tersebut mampu meningkatkan keyakinan pengguna dan membuka peluang pasaran yang lebih luas

“Bagi saya, halal bukan sekadar bahan mentah, tetapi melibatkan keseluruhan proses pengeluaran. Sebab itu kami memastikan semua prosedur dipatuhi sebelum memohon pensijilan halal,” katanya.

Menurut Firzah, syarikatnya terlebih dahulu memperoleh pensijilan MESTI daripada Kementerian Kesihatan sebelum mengemukakan permohonan halal, yang hanya mengambil masa kira-kira satu hingga dua bulan selepas semua keperluan dipenuhi.

Bell Popcorn kini menawarkan 13 perisa termasuk karamel, coklat, strawberi, durian, keju, mangga, mocha, berperisa asli garam laut, keladi, beri biru, butterscotch dengan perisa karamel kekal menjadi pilihan utama pengguna.

“Produk kami dijual pada harga bermula RM2 bagi pek kecil, manakala pek standard dijual antara RM5 hingga RM10 serta pek besar sehingga mencecah RM25 ,” katanya.

Mengulas perkembangan syarikat, Firzah berkata, Bell Popcorn kini dipasarkan secara dalam talian melalui platform e-dagang dan TikTok Shop selain berada di 116 cawangan FamilyMart terpilih di seluruh negara.

Selain itu, produk berkenaan turut dipasarkan di stesen minyak, kedai serbaneka serta berjaya mendapat peluang membekalkan popcorn kepada sebuah syarikat penyedia makanan bagi syarikat penerbangan Riyadh Air.

“Penghantaran pertama melibatkan 500 unit dan kami berharap kerjasama ini akan terus berkembang pada masa hadapan,” katanya.

Beliau mengakui antara cabaran terbesar yang dihadapi ialah persaingan harga daripada pengusaha kecil yang mampu menjual produk pada harga lebih rendah.

“Kami tidak boleh bersaing dari segi harga kerana menitikberatkan penggunaan bahan mentah berkualiti, pematuhan pensijilan serta kos operasi. Sebaliknya kami memberi fokus kepada kualiti produk dan perkhidmatan,” jelasnya.

Menurut Firzah, Bell Popcorn kini menjual sekitar 20,000 hingga 35,000 pek sebulan dengan permintaan yang meningkat ketika musim perayaan dan majlis perkahwinan. – UTUSAN

The post Bell Popcorn tembusi pasaran runcit, korporat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved