Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Pihak polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden penemuan seorang bayi baru lahir di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini.
Penemuan bayi malang itu menjadi tular di media sosial sejak semalam menerusi beberapa klip video yang merakamkan detik-detik cemas sewaktu bayi berkenaan diselamatkan daripada tong sanitari tandas tersebut.
Artikel berkaitan: “Seorang lagi dalam kandungan” – Bayi Baru Lahir Ditemui Dalam Keadaan Menyayat Hati, Pasangan Pelajar Kolej Ditahan
Artikel berkaitan: “Tak pasti, jangan kongsi” – KKM Jawab Dakwaan Wanita R*hingya Cuba Tukar Bayi Di Hospital

Video penuh di sini.
Berdasarkan maklumat awal, bayi yang masih bernyawa itu ditemui di dalam sebuah tong sanitari dengan keadaan fizikalnya yang masih berbaki tali pusat. Keadaan itu menguatkan lagi dakwaan bahawa bayi terbabit baru sahaja dilahirkan sebelum ditinggalkan begitu sahaja.
Kejadian difahamkan berlaku pada 31 Ogos lalu sebelum rakaman visual di lokasi kejadian mula tular di media sosial. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak serta mengecam keras tindakan pelaku yang tergamak membuang bayi itu. Ramai yang mempersoalkan sifat kemanusiaan suspek, malah bersyukur kerana bayi berkenaan masih sempat diselamatkan.

Tindakan pantas pihak berkuasa kemudiannya berjaya mengesan dan menahan pasangan lelaki dan wanita berkenaan bagi membantu siasatan lanjut mengenai kes pembuangan bayi tersebut.
Sumber: Threads, Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





