
BERDASARKAN data rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRN Melaka ke-16, jumlah pengundi muda yang berusia 18 hingga 39 tahun adalah seramai 325,047 orang, iaitu merangkumi 47.34 peratus, yakni hampir separuh daripada keseluruhan 687,697 pemilih berdaftar.
Ini memberikan gambar yang cukup jelas bahawa pengundi dari kategori Gen Y dan Gen Z bakal memainkan peranan besar sekali gus mempengaruhi pola sokongan dan pengundian kepada calon dan parti yang bertanding.
Tidak keterlaluan untuk dirumuskan betapa blok pengundi terbesar (Gen Y dan Gen Z) ini bakal menjadi penentu utama dalam landskap pilihan raya negeri kali ini.
Justeru memasuki fasa akhir kempen, semua calon dan parti yang bertanding perlu merangka strategi komunikasi yang khusus untuk menawan hati kelompok majoriti tersebut.
Justeru, apa formula terbaik untuk mendekati dan menambat hati mereka agar pada hari pengundian kelak mereka akan memangkah tanpa sebarang keraguan?
Misalnya, selera anak muda ini pastinya tidak sama dengan generasi ibu bapa mereka. Kelompok ini sedang berada dalam era ledakan teknologi maklumat dan komunikasi yang serba canggih, khususnya kemunculan pelbagai platform media sosial sebagai saluran komunikasi.
Majoriti dari kalangan generasi ini bergantung sepenuhnya kepada media sosial untuk mendapatkan pelbagai maklumat harian yang berlaku baik di dalam mahupun luar negara.
Calon perlu ambil peluang untuk mendekati golongan ini melalui penciptaan kandungan yang sesuai dan boleh menarik minat mereka. Kandungan yang dihasilkan perlulah autentik, ringkas, mudah difahami dan mudah dikongsi, justeru utamakan fakta berbanding sensasi.
Ini semua boleh dilakukan melalui pelbagai teknik seperti penghasilan video pendek, poster infografik yang menarik mahupun ucapan calon secara siaran langsung.
Seseorang calon itu mestilah mampu mendekati pengundi dan menyampaikan manifesto, janji dan komitmen selain mendengar keluh kesah mereka akan dilihat sebagai kayu ukur penting yang boleh menentukan bilangan undi yang mereka bakal peroleh kelak.
Ketika berjumpa dengan golongan muda, buka ruang untuk mereka mengemukakan pandangan dan cadangan yang memenuhi aspirasi jiwa belia.
Jadilah seorang bapa, ibu, kakak atau abang ketika berkomunikasi dengan mereka.
Jujurnya, calon tidak perlu banyak bercakap sebaliknya cukup jika mampu menjadi pendengar yang baik, prihatin dan meraikan semua harapan serta luahan keluh kesah pengundi.
Setiap calon juga perlu menyuburkan budaya dialog dan komunikasi dua hala.
Ingat, pengundi zaman ini bukan sekadar mahu dengar ceramah atau ucapan berdegar-degar sebagai retorik politik, sebaliknya mahu bertanya, mahu memberikan pandangan dan paling penting mahu suara mereka didengari.
Maka jadilah calon yang mendengar maklum balas dan memberi respon secara profesional.
Calon juga perlu elak menyerang atau mengkritik lawan masing-masing seperti membuka aib atau menceritakan kelemahan. Hentikan budaya politik murahan seperti ini dan sedarlah rakyat semakin matang dan bijak menilai antara kaca dan permata.
Justeru, fokus kepada penyampaian mesej tentang diri, serta apa komitmen kepada pengundi dan kawasan tersebut dengan menggunakan kaedah komunikasi yang tawaduk, rendah hati dan jujur. Jangan sesekali cakap besar atau ego dalam menyampaikan mesej ketika kempen. – UTUSAN
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
The post Apa yang pengundi muda mahu? appeared first on Utusan Malaysia.






