johardy29/05/2026 - 10:10 Petugas-petugas memeriksa gerabak LRT yang tergelincir dari landasan berdekatan stesen Chan Sow Lin pada 28 Mei 2026 - Gambar BERNAMA Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Mei - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah membuka siasatan berhubung insiden tren Light Rail Transit (LRT) yang tergelincir dari landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin, semalam.
APAD memaklumkan satu pemeriksaan di lokasi telah dijalankan segera selepas kejadian bagi menilai situasi serta memastikan tindakan pantas oleh pihak pengendali.
Pemeriksaan pertama di lokasi itu diketuai oleh Ketua Pengarah APAD bersama wakil daripada Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel.
“Pemeriksaan kedua telah dijalankan pada jam 3 petang melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan bagi meneliti siasatan awal, tahap keselamatan operasi serta tindakan susulan yang perlu diambil oleh pengendali,” menurut kenyataan agensi itu hari ini.
“Selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, APAD telah memulakan siasatan segera dan menyeluruh terhadap insiden ini.
“Siasatan ini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta operasi tren,” katanya.
APAD menegaskan bahawa keselamatan penumpang, kebolehpercayaan sistem rel dan integriti perkhidmatan pengangkutan awam tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.
Siasatan Secara Telus
Agensi itu berkata siasatan akan dilaksanakan secara bebas, telus, profesional dan menyeluruh sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.
Pihak pengendali juga telah diarahkan mengemukakan laporan penuh insiden itu secepat mungkin untuk semakan lanjut.
Laporan tersebut akan diteliti secara terperinci sebelum APAD menjalankan sesi temu bual dan penilaian lanjut bagi mengenal pasti faktor penyumbang serta sama ada wujud ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat pelesenan.
“Jika pengendali didapati melanggar syarat pelesenan, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Siasatan juga akan merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 Akta 715, termasuk terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tugas atau cuai sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel,” menurut kenyataan itu.
APAD berkata ia akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta keyakinan orang ramai terhadap sistem transit rel sentiasa terpelihara. - DagangNews.com





