
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (28 Mei), orang ramai sekali lagi dikejutkan gangguan perkhidmatan Rapid KL Laluan Ampang/Sri Petaling dek kerana sebuah tren yang tergelincir dari landasan berhampiran stesen Chan Sow Lin.
Rapid Rail dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian terbabit dan menjelaskan insiden berkenaan berlaku akibat kerosakan pada suis landasan.
Ekoran itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengambil tindakan paling maksimum terhadap Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) berhubung insiden berkenaan serta menubuhkan pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan sebelum dapatan dikemukakan kepada Jemaah Menteri.
APAD Arah Pihak Pengendali Perkhidmatan LRT Kemuka Laporan Lengkap
Terbaharu, APAD telah mengarahkan pihak pengendali perkhidmatan LRT untuk mengemukakan laporan lengkap berhubung kejadian berkenaan.
Memetik Kosmo, laporan tersebut akan diteliti dengan terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dijalankan untuk mengenal faktor yang menyumbang insiden terbabit.
Jelas APAD, siasatan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian.
“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
“Selain itu, siasatan turut merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 Akta 715, termasuk terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau cuai semasa menjalankan tugas sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel,” jelasnya.
Ketua Pengarah APAD Turut Turun Padang, Pandang Serius Insiden Tren Tergelincir
Pada masa yang sama, APAD menegaskan pihaknya memandang serius kejadian terbabit serta telah membuat pemeriksaan tapak sebanyak dua kali di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan tapak pertama telah diketuai oleh Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi Maarof bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel serta Bahagian Perancangan Rel.
“Sesi pemeriksaan tapak kedua pula telah diadakan pada pukul 3 petang melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi serta langkah-langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh pihak pengendali,” katanya.
APAD Terus Buka Kertas Siasatan Serta-Merta Berhubung Insiden Terbabit
Selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan, APAD menjelaskan pihaknya turut membuka kertas siasatan serta-merta untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh insiden berkenaan.
Malah, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Ia termasuklah meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard, penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren.
“Keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam merupakan perkara yang tidak boleh dikompromikan dalam apa jua keadaan.
“APAD akan memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan menyeluruh serta segala tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.

Terdahulu, Rapid KL menjelaskan seramai 25 orang penumpang yang berada dalam tren berkenaan telah berjaya dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi standard tanpa sebarang kecederaan yang dilaporkan.
Malah sehingga artikel ini ditulis, Rapid KL dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kerja-kerja baik pulih berhampiran Stesen Chan Sow Lin sedang giat dijalankan dan berlaku kelewatan tren bagi laluan Ampang/Sri Petaling.
Baca Artikel Berkaitan: Kenapa LRT Laluan Kelana Jaya Berdepan Gangguan? Ini Penjelasan CEO Rapid Rail
Baca Artikel Berkaitan: Isu Gangguan LRT Kelana Jaya: Anthony Loke Arah APAD Siasat, Gesa Prasarana Beri Penjelasan [Video]





