Apakah Hukum Mengelap Air Pada Tubuh Setelah Berwuduk, Ini Penjelasan Dr Kamilin [Video]

17 Feb 2025 • 5:44 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Dalam menunaikan kewajipan solat lima waktu setiap hari, seorang Muslim perlulah memastikan dirinya suci daripada hadas kecil dan besar.

Bagi mengangkat hadas kecil, seseorang itu perlulah berwuduk. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam ayat 6, Surah Al-Maai’dah:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…”

Sesetengah orang akan mengeringkan basahan setelah mengambil wuduk, namun adakah perkara ini dibenarkan?

Ulama Berbeza Pandangan Mengenai Mengelap Air Wuduk

Isu ini telah diterangkan oleh Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr Kamilin Jamilin menerusi satu hantaran video di akaun TikTok miliknya.

Menurutnya, terdapat dua pandangan para ulama berkenaan mengeringkan air pada tubuh badan setelah berwuduk.

Dr Kamilin menerangkan pandangan yang meletakkan hukum makruh melakukan perkara tersebut adalah kerana air wuduk dikatakan sebagai ‘kesan daripada ibadah’.

Katanya, terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut bahawa di padang mahsyar kelak, mereka yang rajin dan banyak berwuduk akan dilihatkan lebih bercahaya.

“Jadi mereka nak bagi nampak air wuduk itu lebih lamalah,” jelasnya.

Selain itu, ketetapan hukum makruh ini juga adalah berdasarkan hadis daripada Maimunah RA:

 فَأَتَيْتُهُ بِخِرْقَةٍ، فَلَمْ يُرِدْهَا، فَجَعَلَ يَنْفُضُ بِيَدِهِ

Maksudnya: “Aku membawakan kepada Nabi SAW secebis kain (setelah baginda mandi junub), maka baginda tidak menerimanya. Lalu baginda menghilangkan sisa-sia air di badan baginda menggunakan tangannya.”

Riwayat Al-Bukhari (274)

Tiada Larangan Spesifik Untuk Lap Basahan Wuduk

Akan tetapi, Dr Kamilin berkata beliau lebih cenderung dengan pandangan yang mengharuskan dan tidak makruh mengeringkan basahan wuduk yang dihukumkan berdasarkan kepada tiga asbab.

Pertama, beliau berkata tiada larangan yang spesifik berkenaan perkara ini dan menurut kaedah fekah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة

Maksudnya: “Hukum asal bagi setiap sesuatu itu adalah harus.”

Kedua, seperti dalam hadis Riwayat Al-Bukhari di atas iaitu Rasulullah SAW mengelap tubuhnya menggunakan tangan selepas mandi junub, Dr Kamilin berkata ini bermaksud air wuduk boleh dilap ataupun dikeringkan.

Tambahnya lagi, mungkin terdapat asbab atau faktor tertentu apabila Rasulullah SAW tidak mahu mengeringkan tubuhnya menggunakan kain yang dihulurkan.

Ada Para Sahabat Keringkan Air Wuduk Guna Kain

Ketiga, terdapat para sahabat termasuk Uthman bin Affan RA dan Anas bin Malik RA yang mengelap menggunakan kain selepas berwuduk.

“Jadi tiada masalah dan tidak makruh. Ikut kepada keadaan dan keselesaan kita nak beribadah ataupun situasi ketika itu.

“Di akhirat nanti, orang yang nampak bercahaya bukan disebabkan air yang dia tak lap, tetapi kerana dia banyak berwuduk. Itu menandakan dia banyak solat dan banyak istiqamah di dalam wuduk,” jelas Dr Kamilin.

@drkamilinjamilin

Ramai tanya, “Boleh ke nak lap keringkan air wuduk selepas berwuduk?” Dengar dan kongsikan. #QnA #FaedahSunnah

♬ original sound – Dr. Kamilin Jamilin – Dr. Kamilin Jamilin

Tonton video [DI SINI].

Ada Pandangan Ulama Bahawa Sunat Tidak Lap Air Wuduk

Merujuk kepada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat juga pandangan ulama yang menghukumkan sunat untuk meninggalkan basahan air wuduk.

Imam Al-Nawawi berkata terdapat pendapat yang menyebut bahawa tidak makruh mengelap air wuduk, tetapi disunatkan untuk meninggalkannya.

Di samping itu, terdapat juga pendapat yang menyebut sunat untuk mengelap air wuduk pada tubuh kerana ‘terdapat padanya keselamatan dari debu-debu najis dan seumpamanya’.

Malah, ada pendapat yang menghukumkan makruh mengelap anggota selepas berwuduk pada musim panas, tetapi tidak dimakruhkan pada musim sejuk kerana terdapat keuzuran iaitu akibat kesejukan.

Imam Al-Mahamili juga mengatakan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa mengelap air wuduk tidaklah sehingga diharamkan, namun terdapat perbezaan pendapat sama ada ia makruh ataupun tidak.

Source: