Apex Securities beri amaran risiko tekanan kos dan dasar perdagangan AS jejaskan KDNK Malaysia pada 2H26

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 12:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Apex Securities beri amaran risiko tekanan kos dan dasar perdagangan AS jejaskan KDNK Malaysia pada 2H26 Image from: Apex Securities beri amaran risiko tekanan kos dan dasar perdagangan AS jejaskan KDNK Malaysia pada 2H26 amree17/08/2026 - 12:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Tekanan kos yang semakin meningkat dan ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) berisiko menghakis momentum ekonomi Malaysia pada separuh kedua 2026 (2H26).

 

Menurut analisis Apex Securities, dua cabaran itu amat berisiko menjejaskan meskipun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini berjaya melonjak 6% pada tempoh suku kedua (2Q26).

 

Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan 2Q26 kukuh daripada jangkaan memberi kejutan positif, namun risiko luaran dijangka semakin ketara apabila kesan dirasai dengan lebih jelas mulai 2H26.

 

"Justeru, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia 2026 pada 5%, namun imbangan risiko kini condong ke arah peningkatan selepas ekonomi berkembang 6% pada 2Q26," jelasnya dalam nota.

 

Pertumbuhan itu ujar Apex Securities, turut menunjukkan momentum teguh apabila KDNK naik 2.5% suku ke suku, pertumbuhan paling pantas sejak 2Q22, selepas mencatat penyusutan 0.03% pada 1Q26.

 

Eksport bersih menjadi pemacu utama dengan menyumbang 2.4 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK, dipacu lonjakan eksport sebenar 17% susulan permintaan kukuh produk elektrik dan elektronik (E&E).

 

pelabuhan_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Firma itu berkata penggunaan swasta kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan 4.8%, tetapi jumlah pelaburan jatuh kepada 4.6% daripada 7.3% pada suku sebelumnya susulan pertumbuhan yang perlahan.

 

"Sektor pembuatan berkembang 7.3% berikutan permintaan ka atas E&E dan komponen kecerdasan buatan (AI), serta perlombongan naik 9.2% susulan peningkatan pengeluaran gas asli," kata Apex Securities.

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang sederhana kepada sekitar 4.4% pada 2H26, dan mencerminkan kesan asas tinggi daripada prestasi kukuh 2H25 serta peningkatan cabaran luaran.

 

Tekanan kos ujar firma tersebut menjadi antara kebimbangan utama apabila gangguan bekalan yang sebelum ini dikurangkan melalui penggunaan pembekal alternatif kini membawa kos lebih tinggi.

 

Apex Securities turut merujuk data Indeks Harga Pengeluar (PPI) meningkat ke paras tertinggi empat tahun sebanyak 9.2% pada Jun 2026, manakala aktiviti penyimpanan stok dijangka terus berkurangan.

 

"Konflik di rantau Timur Tengah masih berlarutan serta dasar perdagangan AS yang tidak menentu boleh menjejaskan perdagangan global, pengeluaran dan keputusan pelaburan syarikat," tambahnya.

 

Ia namun menaikkan unjuran lebihan akaun semasa 2026 kepada kira-kira 2% daripada KDNK daripada 1.5% sebelum ini, selepas lebihan akaun semasa 1H26 mencapai RM25.9 bilion atau 2.5% daripada KDNK.

 

Justeru, Apex Securities menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sepanjang 2026. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved