amree10/08/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Econpile Holdings Berhad dijangka berdepan kejatuhan mendadak keuntungan teras pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26), kata RHB Research dalam nota analisisnya.
Situasi lemah itu ujar firma tersebut, disebabkan kenaikan kos bahan binaan dan diesel, namun kejayaan meraih kontrak baharu melebihi sasaran RM400 juta boleh memberi sinar kepada prospek pemulihan.
Justeru, ia mengunjurkan keuntungan bersih teras kumpulan itu bagi 4QFY26 hanya RM200,000 hingga RM500,000, jauh lebih rendah berbanding RM8 juta dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
"Tekanan dijangka berpunca daripada faktor kenaikan harga bahan binaan, bahan api dan pengangkutan, sekali gus boleh menekan margin keuntungan projek yang sedang dilaksanakan," kata RHB Research.
Prestasi rakan setara, Aneka Jaringan Holdings Berhad, turut memberi petunjuk ketara apabila margin untung kasar (GPM) syarikat itu susut kepada 5% pada 3QFY26 daripada 11%, walaupun hasil naik 38%.
Perkembangan tersebut menguatkan jangkaan kumpulan berkenaan juga akan mengalami penyusutan GPM dalam keputusan kewangan pada 4QFY26 berbanding margin 18.6% yang pernah direkodkan setahun lalu.

Jika diambil kira tekanan kos itu, RHB Research mengunjurkan keuntungan teras Econpile bagi FY26 sekitar RM3.7 juta, serta menyemak turun unjuran hasil FY26 hingga FY27 masing-masing 12% dan 14%.
"Kumpulan ini namun mencatat perkembangan positif nilai kontrak kerja baharu bagi FY26 mencecah RM404 juta, melepasi sasaran RM400 juta ditetapkan bagi tahun kewangan tersebut," kata firma itu.
Ini termasuk kontrak bernilai RM39.5 juta bagi pembangunan komersial pada Julai 2026, dan dijangka meningkatkan buku tempahan terkumpul kepada RM570 juta berbanding hanya RM498 juta pada akhir FY25.
Pada masa sama ujar RHB Research, Econpile mempunyai banyak lagi tender projek bernilai RM1 bilion, sekali gus menyediakan peluang pertumbuhan apabila tekanan kos bahan dialami ketika ini makin reda.
Menurutnya, kontrak dan bidaan baharu berkemungkinan ditetapkan pada margin lebih baik, manakala bagi sesetengah projek infrastruktur, kontraktor utama turut menanggung perolehan bahan tertentu.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'beli' tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada 23 sen daripada 27 sen, dengan potensi kenaikan 70%, disokong rekod kukuh projek kumpulan ini," katanya
Antaranya dalam tender infrastruktur yang boleh membuka peluang mendapatkan projek baharu, walaupun risiko utama kekal tempoh kos bahan kemungkinan tinggi secara berpanjangan. - DagangNews.com






