amree10/08/2026 - 14:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Tekanan kos sara hidup semakin ketara mendorong isi rumah Malaysia menjadi lebih sensitif terhadap harga, dan meletakkan Eco-Shop Marketing Berhad pada kedudukan yang terbaik.
Kumpulan tersebut menurut AmInvestment Bank (AmInvest), meraih manfaat sebagai peruncit harga tetap yang terbesar di negara ini dengan menawarkan setiap barangan keperluan harian dijual hanya RM2.60.
Ujarnya, alternatif itu membantu perbelanjaan pengguna yang semakin berhati-hati, namun cabaran kekal daripada persaingan sengit segmen peruncitan nilai dan perubahan corak sentimen pengguna.
"Justeru, kami memulakan liputan terhadap Eco-Shop dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.80 sesaham, menawarkan pertumbuhan menarik dalam kalangan peruncit yang tersenarai," katanya.
AmInvest menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan teras 20% bagi FY26 hingga FY29, yang disifatkan antara paling pantas melibatkan syarikat peruncit di Bursa Malaysia.
Harga tetap RM2.60 disokong oleh asas jualan barangan keperluan harian, dengan makanan dan minuman (F&B) menjana 36%, manakala barangan pilihan pula meningkatkan nilai purata pembelian pelanggan.

Eco-Shop jelasnya, turut mempunyai ruang pengembangan kedai dengan pihak pengurusan menyasarkan 100 kedai baharu dibuka setiap tahun, khususnya di kawasan yang masih kurang lagi mendapat liputan.
"Ia mencatat purata 70,000 orang penduduk bagi setiap kedai, berbanding 31,000 di negara maju, yang menunjukkan masih ada ruang pertumbuhan sebelum pasaran mencapai tahap tepu," tambah AmInvest.
Sabah dan Sarawak dilihat menawarkan peluang besar dengan nisbah 143,000 populasi bagi setiap kedai manakala separuh bilangan kedainya terletak dalam lingkungan tiga kilometer antara satu sama lain.
Rangkaian pusat pengedaran Eco-Shop pula dijangka meningkatkan kapasiti pemprosesan lebih dua kali ganda menjelang 2029, dan menyokong pengembangan hingga FY34 tanpa memerlukan pembiayaan besar.
AmInvest berkata, margin kasar naik daripada 20% pada FY22 kepada 33% pada FY26, didorong rebat pembekal susulan peningkatan skala operasi serta pertambahan campuran produk jenama sendiri.
"Margin juga meningkat kepada 13% walaupun gaji minimum pekerjanya dinaikkan kepada RM1,800 daripada RM1,500, selain program pengubahsuaian kedai menyediakan potensi peningkatan jualan," katanya.
Justeru, ia percaya penilaian saham Eco-Shop masih dianggap murah berdasarkan pertumbuhan, disokong permintaan pengguna, pengembangan rangkaian kedai dan struktur margin semakin kukuh. - DagangNews.com






