amree10/08/2026 - 12:35 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Ramssol Group Berhad diyakini mampu mengekalkan trajektori pertumbuhan yang kukuh pada tempoh separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), menurut Apex Securities.
Penilaian ini dipacu momentum berterusan dalam perniagaan AiTech dan PeopleTech, serta pengembangan AutoTech dan FinTech, sekali gus mendorongnya mengulangi saranan 'beli terhadap saham kumpulan itu.
Firma penyelidikan tersebut turut mengekalkan harga sasaran (TP) RM1.30 sesaham, disokong jangkaan pertumbuhan pendapatannya daripada empat tonggak utama perniagaan semasa syarikat pada ketika ini.
"Bagaimanapun, Ramssol masih berdepan risiko pelaksanaan, integrasi pengambilalihan baharu dan pencairan keuntungan daripada peningkatan kepentingan bukan kawalan (NCI)," kata Apex Securities.
Bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), keuntungan bersihnya naik kira-kira 30.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM7.4 juta, dipacu pertumbuhan menyeluruh merentasi semua segmen perniagaan.
Prestasi itu menjadikan keuntungan bersih teras bagi enam bulan pertama FY26 (1HFY26) meningkat 20.6% kepada RM13.9 juta, yang mewakili 45% daripada unjuran keuntungan FY26 oleh firma berkenaan.

Hasil Ramssol pula ujar Apex Securities naik kepada RM27.3 juta pada 2QFY26, disokong peningkatan pelanggan bagi AiTech, pengembangan lesen perisian serantau dan pertumbuhan skala operasi AutoTech.
"Secara YoY, hasil meningkat 9.4%, manakala pertumbuhan keuntungan teras yang pantas turut dibantu prestasi kukuh anak syarikat dan penurunan kadar cukai efektif kepada 2.6%," tambah firma tersebut.
Pertumbuhan 2HFY26 diunjur terus disokong oleh penerimaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan dalam kalangan pelanggan, yang meningkatkan margin bagi segmen AiTech.
Segmen PeopleTech kata Apex Securities, dijangka memberi sumbangan segera peningkatan skala Ramssol manakala AutoTech memperluaskan platform operasi agensi kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sementara itu, pengembangan FinTech menerusi pelaksanaan integrasi akses gaji awal (EWA) PayDayNow, masih bergantung kepada keupayaan rancangan pengembangan dan mengurus proses integrasi perniagaan.
"Berdasarkan perkembangan tersebut, kami mengekalkan unjuran keuntungan bersih teras bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing kepada RM30.8 juta, RM40 juta dan RM45.2 juta," jelas firma itu lagi.
Prospek Ramssol tambah Apex Securities, terus disokong momentum kukuh AiTech dan PeopleTech di Malaysia serta Indonesia, selain potensi pertumbuhan AutoTech dan FinTech. - DagangNews.com




