amree30/07/2026 - 14:22 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai — Powerwell Holdings Berhad dilihat berada pada kedudukan strategik untuk muncul antara penerima manfaat utama pembangunan pesat pusat data (DC) dan kecerdasan buatan (AI).
Pelaburan industri ini dijangka mewujudkan peluang perniagaan teknikal hingga RM162 bilion, dengan syarikat yang ada kapasiti penyediaan infrastruktur utiliti mampu meraih kesan pertumbuhannya.
Apex Securities berkata, kapasiti DC Malaysia dijangka naik tiga kali ganda kepada 12.9GW pada 2030, sekali gus mewujudkan pasaran kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) yang bernilai besar.
"Uniknya, Powerwell merupakan satu-satunya pengeluar tempatan yang memiliki lesen bagi keseluruhan rangkaian sistem voltan rendah (LV) dan voltan sederhana (MV) keluaran Siemens," jelas firma itu.
Kelebihan itu sekali gus membolehkannya memanfaatkan secara langsung pertumbuhan pesat industri DC dengan projek fasiliti tersebut kini menyumbang 35% daripada buku tempahan syarikat berkenaan.
Jumlahnya mencecah RM150.8 juta, manakala 73% daripada tender bernilai RM410 juta turut melibatkan sektor berkenaan, termasuk kontrak terbesar diraih syarikat setakat ini bernilai RM158.8 juta.

Justeru, Apex Securities mengunjurkan keuntungan bersih Powerwell pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 45.7% hingga FY28, didorong peluasan kapasiti pengeluaran dan kecekapan operasi.
"Kami menjangkakan untung bersihnya naik 81.7% kepada RM43.7 juta pada FY27 sebelum RM51.1 juta pada FY28, dijana operasi kilang di Indonesia serta pelaksanaan automasi di Malaysia," tambahnya.
Selain itu, pengambilalihan syarikat Tenaga Kenari bukan sahaja meningkatkan keuntungan bersih kumpulan sekitar 4.5% bagi FY27, malahan membuka tapak pembuatan pertama untuk Sabah dan Sarawak.
Menurut Apex Securities, langkah itu meletakkan Powerwell pada kedudukan lebih kukuh untuk merebut peluang daripada pembangunan DC dan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin pesat.
Sehubungan itu, ia memulakan liputan terhadap kumpulan ini dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.10 sesaham, yang mencerminkan potensi kenaikan 29.7%, disokong prospek pertumbuhan kukuh.
"Bagaimanapun, antara risiko perlu diberi perhatian ialah kelewatan projek DC, pelaburan prasarana AI yang perlahan, serta perubahan dasar industri teknologi Malaysia," kata firma itu. - DagangNews.com





