LLM, Prosignal perlu jelaskan masalah TuJu

LocalTechnology
24 Oct 2026 • 8:04 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: LLM, Prosignal perlu jelaskan masalah TuJu

PUTRAJAYA: Lembaga Lebuh­raya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (Prosignal) diarah memberikan penjelasan terperinci berhubung masalah dihadapi aplikasi navigasi tempatan, TuJu.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan susulan pelbagai isu dibangkitkan pengguna mengenai aplikasi navigasi itu selain mengenal pasti punca masalah dan langkah penambahbaikan yang akan dilaksanakan.

“Penjelasan itu perlu me­rangkumi aspek teknikal, status prestasi semasa aplikasi serta langkah penyelesaian dan proses penambahbaikan yang sedang atau akan dilaksanakan.

“Penjelasan berkenaan pen­ting bagi memastikan isu yang dihadapi pengguna dapat ditangani secara menyeluruh selain meningkatkan kebolehpercayaan aplikasi TuJu dan memberikan keyakinan kepada orang ramai terhadap penggunaan aplikasi navigasi tempatan,” katanya semasa sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini semalam.

Katanya, aplikasi TuJu dibangunkan oleh Prosignal menerusi memorandum persefahaman yang ditandatangani bersama LLM pada 26 Mei 2022 sebelum dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 26 November 2025.

Fahmi berkata, pihak LLM telah mengakui terdapat masalah yang dihadapi pengguna berhubung aplikasi itu dan memaklumkan bahawa usaha untuk menambah baik aplikasi itu sedang dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar diminta menyelaraskan mesyuarat antara ketua-ketua setiausaha beberapa kementerian bagi meneliti penggunaan aplikasi navigasi termasuk aplikasi tempatan serta memastikan Waze tidak lagi digunakan terutama oleh penjawat awam.

Kata Fahmi, mesyuarat ber­kenaan turut meneliti penjelasan LLM dan Prosignal termasuk aspek teknikal, keberkesanan fungsi, pengalaman pengguna serta pelan tindakan penambahbaikan yang mempunyai sasaran dan garis masa jelas.

Jelasnya lagi, kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pelbagai aplikasi navigasi alternatif, sama ada yang dibangunkan di dalam mahupun luar negara, dan tidak bergantung kepada satu aplikasi tertentu.

“Yang penting, tidak menggunakan Waze atas aspek-aspek keselamatan yang telah dimaklumkan oleh pihak Majlis Kese­lamatan Negara,” katanya.-UTUSAN.

The post LLM, Prosignal perlu jelaskan masalah TuJu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved