
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil serius insiden kemalangan maut yang membabitkan anggotanya dan sentiasa terbuka untuk menilai serta menambah baik aspek keselamatan, pengurusan risiko dan pelaksanaan aktiviti dari semasa ke semasa.
APM berkata, langkah itu susulan tragedi yang meragut nyawa Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin selepas menyertai Program Latihan Kesedaran Orang Awam Pengendalian Haiwan Berbisa di Dewan Taman Temerloh Jaya, Pahang, Sabtu lalu.
Menurut APM dalam satu kenyataan hari ini, penilaian berterusan itu merupakan sebahagian daripada komitmen agensi berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan dan kebajikan setiap anggotanya sentiasa diberi keutamaan.
“Langkah penilaian itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan APM bagi memastikan keselamatan serta kebajikan anggotanya sentiasa diberikan keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, APM turut mengesahkan Muhamad Muazam Shah, 39, merupakan seorang anggota yang terlatih serta berpengalaman luas dalam pengendalian haiwan berbisa.
Jelasnya, allahyarham juga aktif berkhidmat bersama APM sejak 2010 dan mempunyai pengalaman dalam melaksanakan tugasan berkaitan.
APM berkata, aktiviti pengendalian haiwan berbisa ketika program berkenaan turut dilaksanakan mengikut prosedur tetap operasi (PTO) serta tatacara keselamatan yang telah ditetapkan.
“Semua anggota APM diwajibkan menghadiri latihan berkaitan sebelum dibenarkan menyertai operasi.
“Anggota yang terlibat juga telah menjalankan tugasan berdasarkan prosedur serta arahan keselamatan yang ditetapkan,” ujarnya.
Sebelum ini, Muhamad Muazam Shah dilaporkan dipatuk ular tedung selar pada jari tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian haiwan berbisa.
Beliau bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Baca juga:Dalam kenyataan sama, APM menzahirkan rasa dukacita atas pemergian allahyarham serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarganya.
APM menyifatkan pemergian Muhamad Muazam Shah sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada agensi itu, malah kepada negara.






