APM bantu pindahkan wanita 180kg

LocalHealth & Fitness
5 Jun 2026 • 11:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: APM bantu pindahkan wanita 180kg
Sembilan anggota APM Kota Bharu membantu memindahkan seorang wanita obesiti seberat 180kg dari Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh ke HRPZ II, Kota Bharu pada Khamis. Foto: APM
Image from: APM bantu pindahkan wanita 180kg
Proses pemindahan selesai sepenuhnya kira-kira 40 minit. Foto: APM

KOTA BHARU - Sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu membantu memindahkan seorang wanita obesiti seberat 180 kilogram (kg) dari Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Khamis.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Mejar (PA) Mohd Arif Mohd Zin berkata, pesakit wanita berusia 35 tahun itu dipindahkan bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas berada di zon merah hospital berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital pada jam 5.50 petang sebelum sembilan anggota bersama sebuah lori lima tan digerakkan ke lokasi.

"Anggota tiba di Hospital Tengku Anis pada jam 6.54 petang dan operasi pemindahan pesakit berjaya diselesaikan pada jam 7.25 malam. Proses pemindahan selesai sepenuhnya kira-kira 40 minit kemudian," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Arif memberitahu, operasi itu dilaksanakan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan kesejahteraan pesakit sepanjang proses pemindahan.

**media[3540930]**

Menurutnya, misi tersebut mencerminkan komitmen berterusan APM dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan kebajikan kepada masyarakat tanpa mengira situasi serta cabaran yang dihadapi.