KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang 'founder' wanita sudah dipanggil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) pada Selasa bersabit penganjuran majlis sambutan hari jadi bertemakan bunian dan berpakaian menyerupai hantu baru-baru ini.
Sumber Jaheaik berkata, wanita berkenaan telah hadir ke pejabat berkenaan ditemani suaminya dan diambil keterangan selama kira-kira satu jam.
"Siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu tular di media sosial tindakan seorang 'founder' di negeri ini mengadakan majlis sambutan hari lahir anaknya bertemakan bunian menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warganet.
Dalam majlis tersebut ada yang berpakaian menyerupai hantu seperti pocong, bunian dan sebagainya turut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, sambutan hari jadi yang bertemakan bunian dan berpakaian menyerupai hantu sehingga tular di media sosial baru-baru ini disifatkan sebagai satu bentuk kufur nikmat kerana tidak meletakkan nikmat kurniaan ALLAH SWT pada tempat yang sepatutnya, demikian kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Menurut beliau, setiap kelahiran anak merupakan kurniaan ALLAH yang perlu disyukuri mengikut tuntutan agama Islam.
Ujarnya, konsep mensyukuri nikmat ialah meletakkan sesuatu nikmat yang dikurniakan ALLAH pada tempat yang betul dan selaras dengan syariat.






