KOTA BHARU - Usaha memperkukuh ketenangan jiwa dan emosi pesakit serta waris dilihat selari dengan pengisian kerohanian menerusi penganjuran Arafah #QuranHour 2026 yang dijadual berlangsung pada 26 Mei ini.
Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Izamin Idris berkata, waris pesakit sebenarnya berdepan tekanan emosi yang lebih tinggi kerana perlu melalui pelbagai situasi sepanjang proses rawatan ahli keluarga mereka.
Menurut beliau, keadaan itu memerlukan sokongan berterusan bukan sahaja kepada pesakit, tetapi juga kepada penjaga yang berada di sisi mereka.
“Waris ini kadang-kadang lebih tertekan berbanding pesakit kerana mereka memikirkan banyak perkara termasuk keadaan kesihatan, kos, dan tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang sakit.
“Sebab itu penting untuk kita beri perhatian kepada emosi dan rohani mereka supaya mereka lebih kuat menghadapi ujian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena kempen Arafah #QuranHour 2026 anjuran Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di HRPZ II di sini pada Ahad.
Program bertemakan Ummah Berbudi dan Penyayang, Satu Kebangkitan itu akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 26 Mei ini dengan lokasi utama di Kelantan diadakan di Masjid An-Nur Kota Kubang Labu di sini.
**media[3525679]**
Dr Izamin berkata, pendekatan hospital mesra ibadah yang dilaksanakan di HRPZ II turut membantu memberi sokongan kepada pesakit dan waris dari sudut rohani, termasuk bimbingan ibadah seperti solat serta penghayatan al-Quran sebagai sumber ketenangan.
Katanya, bacaan ayat-ayat syifa’ dalam al-Quran memberi kesan positif kepada emosi pesakit serta membantu menenangkan keadaan psikologi mereka ketika menerima rawatan.
“Al-Quran ini bukan sekadar bacaan, tetapi memberi ketenangan dan kekuatan kepada pesakit serta waris yang sedang berdepan ujian kesihatan.
“Dalam masa yang sama, ia juga membantu petugas kesihatan untuk lebih empati dan memahami keadaan emosi pesakit serta keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata, pengisian seperti Arafah #QuranHour 2026 dilihat seiring dengan usaha memperkukuh aspek kesejahteraan holistik dalam sistem kesihatan, yang tidak hanya tertumpu kepada rawatan fizikal semata-mata.
Menurutnya, pendekatan berteraskan spiritual dan emosi itu penting dalam membantu pesakit dan waris menghadapi cabaran dengan lebih tenang serta positif.
“Apabila hati tenang, rawatan juga lebih mudah diterima. Ini antara hikmah yang kita lihat dalam pendekatan kesejahteraan menyeluruh di hospital,” katanya.
Dr Izamin berkata, pihaknya akan terus menyokong program yang memberi manfaat kepada kesejahteraan pesakit, waris dan warga kerja hospital dalam usaha memperkukuh nilai ihsan dalam perkhidmatan kesihatan.




