
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot nelayan yang disyaki membawa barang kawalan tanpa permit sah dan melanggar syarat sah lesen di perairan Kudat pada Rabu.
Pengarahnya Komander Maritim Hasbullah Omar berkata bot terbabit dikesan oleh bot ronda Zon Maritim Kudat kira-kira jam 3 pagi semasa menjalankan rondaan Op Pluto Timur 2/2013 / Op Tiris di perairan sekitar 5.1 batu nautika barat laut Tanjung Berungus, di sini.
Hasbullah berkata bot ronda bertindak memintas bot berkenaan selepas ia dilihat dalam keadaan meragukan sebelum menahannya untuk diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa barang kawalan tanpa sebarang permit sah iaitu sejumlah lima tong gas serta pelbagai jenis barangan runcit.
“Tiga individu yang mengendalikan bot turut diperiksa dan didapati kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bot dan barang rampasan seterusnya dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 keran membawa barang kawalan tanpa permit sah dan Enakmen Pelabuhan dan Germaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen.
Beliau turut menyeru masyarakat khususnya komuniti maritim di daerag ini untuk melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24jam.


