APMM Tahan 33 PATI, Dipercayai Cuba Masuk Malaysia Di Perairan Port Dickson

14 Sep 2026 • 10:48 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

APMM Tahan 33 PATI, Dipercayai Cuba Masuk Malaysia Di Perairan Port Dickson

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 33 warga Indonesia, termasuk seorang tekong yang dipercayai cuba memasuki negara ini melalui laluan laut yang tidak diwartakan di perairan Port Dikcson, malam Jumaat lepas.

Pengarah Maritim Melaka & Negeri Sembilan, Kapten Maritim Salehuddin Zakaria berkata penahanan itu dilakukan menerusi Op BENTEN dan Op TIRIS hasil pengesanan menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) serta pemantauan berterusan Maritim Malaysia terhadap aktiviti penyeludupan migran.

Beliau berkata kira-kira 9.30 malam, aset ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Pantai Kuala Lukut, Negeri Sembilan.

“Bot berkenaan telah diarahkan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan. Bagaimanapun, tekong bertindak memecut laju dalam cubaan meloloskan diri daripada pemeriksaan.

“Anggota Maritim Malaysia kemudiannya melaksanakan tindakan mengejar sebelum berjaya memintas dan menahan bot tersebut,” katanya.

Baca juga:

Tambahnya, penggunaan bot pancung melalui laluan laut yang sukar dikesan dipercayai antara modus operandi digunakan bagi mengelakkan pengesanan dan pemeriksaan pihak berkuasa.

Salehuddin berkata pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 33 individu berusia antara 13 hingga 58 tahun terdiri daripada 21 lelaki dan 12 wanita, kesemuanya warga Indonesia.

“Semakan awal mendapati kesemua individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di perairan Malaysia dan dipercayai cuba memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya.

Kesemua PATI bersama seorang tekong dan bot pancung berkenaan dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti penyeludupan migran yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Pemantauan dan rondaan berterusan akan dipertingkatkan, khususnya di kawasan ‘hotspot’, bagi memastikan sebarang cubaan menceroboh sempadan perairan negara dapat dibendung.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved