
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot nelayan asing Vietnam kerana disyaki menceroboh perairan negara menerusi Op Naga Barat, Jumaat lepas.
Pengarahnya Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata 21 kru termasuk tekong ditahan manakala hasil tangkapan laut, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM3 juta turut dirampas.
“Semasa rondaan, APMM Terengganu telah mengesan dua buah bot yang mencurigakan dipercayai bot nelayan asing Vietnam sedang menangkap hasil laut di perairan Malaysia tanpa kebenaran di kedudukan 155 dan 156 batu nautika dari Kuala Terengganu.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke jeti APMM Terengganu dan telah melalui ujian saringan Covid-19 sebagai langkah pencegahan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963 dan pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi mencegah aktiviti menyalahi undang-undang.
“Komuniti maritim turut diminta melaporkan sebarang salah laku ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Terengganu di talian 09-6223657,“ katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Khairulanuar berkata pihaknya telah membantu memindahkan seorang penumpang kapal persiaran Betty Lai Foong, 73, dari Amerika Syarikat yang mengalami kekejangan dan epilepsi ketika kapal tersebut bersauh di kedudukan tiga batu nautika dari muara Kuala Terengganu, awal pagi tadi.
“Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah mengkoordinasikan MEDIVAC atau khidmat bantuan kepada APMM Terengganu setelah dihubungi kapal tersebut.
“Sejurus menerima laporan, bot PERKASA 1234 telah diatur gerak ke lokasi bagi bantuan pemindahan pesakit yang kini dirawat di Hospital Kemaman,” katanya. - Bernama

![[VIDEO] Belanjawan 2024: Perolehan kapal peronda baharu, bot pemintas perkasakan APMM kawal perairan negara](https://cdn.newswav.com/img/topic/world.jpeg)