APMM terima helikopter AW189 pertama, baki tiga lagi hujung tahun 

LocalPolitics
13 Aug 2026 • 3:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

APMM terima helikopter AW189 pertama, baki tiga lagi hujung tahun  Image from: APMM terima helikopter AW189 pertama, baki tiga lagi hujung tahun  hamden13/08/2026 - 15:26 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memperkukuh keupayaan operasi udara menerusi penerimaan helikopter Leonardo AW189 pertama daripada empat unit yang diperoleh menerusi kontrak bernilai RM529 juta.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aset baharu itu akan meningkatkan keupayaan APMM dalam menjalankan pengawasan udara, operasi mencari dan menyelamat (SAR), misi khas serta tugasan penguatkuasaan di seluruh zon maritim negara.

 

Menurut beliau, perolehan helikopter berkenaan penting bagi memperkukuh usaha APMM menangani pelbagai ancaman di perairan Malaysia, termasuk pencerobohan nelayan asing, kemasukan kapal asing, penyeludupan senjata dan dadah serta penyeludupan barangan.

 

 

 

 

 

 

Ia turut melibatkan ancaman pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, pelarian, pendatang asing tanpa izin dan jenayah maritim lain.

 

“Kerajaan perlu menunjukkan komitmen dan sokongan yang kukuh kepada agensi penguatkuasaan seperti APMM,” katanya selepas majlis penyerahan rasmi helikopter AW189 pertama kepada APMM.

 

Saifuddin berkata, walaupun APMM mempunyai pelbagai aset seperti kapal, radar, dron dan bot, keupayaan udara kekal penting bagi melaksanakan pengawasan, SAR, operasi khas dan misi lain.

 

Menurutnya, AW189 menawarkan keupayaan lebih tinggi berbanding pesawat sedia ada APMM, khususnya dari segi tempoh penerbangan, kelajuan dan kapasiti muatan.

 

Helikopter berkenaan dikendalikan kru seramai lima orang dan mampu membawa sehingga 16 anggota tambahan, dengan konfigurasinya boleh diubah suai mengikut keperluan operasi.

 

Tiga lagi helikopter AW189 dijangka tiba menjelang akhir tahun ini.

 

Penerimaan unit pertama itu meningkatkan jumlah armada helikopter APMM daripada lima kepada enam unit, manakala ketibaan tiga unit tambahan akan menjadikan keseluruhan armada kepada sembilan helikopter.

 

Latihan anggota diperkasa

Dalam pada itu, Saifuddin berkata APMM kini memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan anggota bagi mengendalikan pesawat baharu tersebut.

 

Anggota yang telah menamatkan latihan di Itali akan meneruskan latihan di Malaysia sebelum disahkan bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan AW189.

 

Langkah itu penting bagi memastikan aset berkenaan dapat dimanfaatkan secara optimum dalam pelbagai misi penguatkuasaan dan keselamatan maritim.

 

Kapal induk menyusul tahun depan

Selain helikopter baharu, kerajaan turut dijangka menerima satu lagi aset strategik, iaitu Kapal Misi Pelbagai Guna pada suku pertama tahun depan.

 

 

 

 

 

 

 

Saifuddin berkata kapal induk berkenaan akan memperkukuh keupayaan APMM menjalankan operasi di kawasan laut dalam.

 

Kapal tersebut kini sedang dibina di Turkiye dan dijangka menjadi antara aset penting dalam memperluas keupayaan operasi maritim negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved