
SUBANG JAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijangka menerima baki tiga helikopter AW189 menjelang akhir Disember ini, melengkapkan perolehan empat aset udara baharu menerusi kontrak bernilai RM529 juta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perolehan empat helikopter itu diluluskan menerusi Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kontrak selama lima tahun bermula 19 Januari 2024 hingga 18 Januari 2029.
Menurutnya, helikopter pertama daripada empat unit berkenaan diterima secara rasmi hari ini manakala baki aset dijangka tiba mengikut jadual ditetapkan.
“Peningkatan keupayaan aset itu akan memberi manfaat kepada nelayan, komuniti maritim, industri perkapalan, sektor pelancongan serta semua pengguna perairan negara.
“Manfaat itu termasuk peningkatan tahap keselamatan serta keupayaan tindak balas terhadap kecemasan di laut,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang di sini, hari ini.
Penerimaan empat helikopter Medium Lift AW189 itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkukuh keupayaan APMM dalam penguatkuasaan, pengawasan udara, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), pemindahan perubatan (MEDEVAC) serta operasi khas.
AW189 mempunyai jarak operasi sehingga 1,166 kilometer, kelajuan maksimum 313 kilometer sejam dan ketahanan penerbangan sehingga lima jam serta mampu beroperasi siang dan malam dalam pelbagai keadaan cuaca.
Ia dikendalikan lima kru dan berkeupayaan membawa sehingga 14 penumpang.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, usaha memperkukuh aset APMM akan diteruskan apabila agensi berkenaan dijangka menerima sebuah kapal peronda luar pesisir (OPV) pada suku pertama tahun depan.
Katanya, penambahan aset baharu dijangka meningkatkan moral serta semangat anggota APMM yang memikul tanggungjawab besar mengawasi pelbagai bentuk ancaman di laut.
“Ini sekali gus menunjukkan Kerajaan Madani meletakkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada APMM dalam menjaga keselamatan maritim kita. Apabila keselamatan dan kedaulatan perairan negara terjaga, keamanan akan dapat kita capai dan kehidupan rakyat akan menjadi lebih sejahtera,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Baki tiga AW189 APMM dijangka tiba akhir tahun ini appeared first on Kosmo Digital.





