
Apple akan melakukan penambahbaikan besar pada ciri suntingan foto dalam iOS 27, iPadOS 27 dan macOS 27 menggunakan Apple Intelligence menurut laporan Mark Gurman di Bloomberg. Ciri suntingan gambar dengan bantun AI ini akan dijalankan terus daripada peranti dengan ia akan menawarkan prestasi berbanding ciri sekarang yang tidak menawarkan hasil yang konsisten.
Ciri akan dinamakan Apple Intelligence Tools di dalam aplikasi Photos. Suntingan yang akan boleh dilakukan kelak ialah Extend yang menghasilkan kandungan tambahan di luar bingkai asal mirip Generative Expand di Google Photos. Enhance pula menambah baik warna, pencahayaan dan kualiti imej secara automatik.

Sementara itu Reframe akan mengubah perspektif foto, terutama untuk spatial photos Vision Pro. Akhir sekali Clean Up akan dipertingkatkan lagi bagi membolehkan objek dibuang daripada gambar dengan lebih baik.
Strategi AI Apple pada waktu ini masih di belakang yang ditawarkan di Google Pixel dan Samsung Galaxy. Ciri suntingan gambar di Android jauh lebih baik dengan wajah yang hilang boleh dijana walaupun dihalang sebuah telefon. Tidak terhenti di situ Gemini dan Circle to Search juga mempunyai pelbagai ciri berguna berbanding Siri yang agak terhad.





