Apple Dan Samsung Juga Dikatakan Mahu Mengambil-alih Intel

TechnologyDigital
4 Nov 2024 • 11:23 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Beberapa minggu yang lalu, kami telah melaporkan bahawa terdapat ura-ura kuat yang mengatakan bahawa Qualcomm, syarikat pembuat cip pemprosesan yang menguasakan sejumlah besar peranti-peranti pintar di dunia mahu mengambil-alih syarikat pereka dan pengeluar cip semikonduktor Intel.

Terkini, terdapat lagi ura-ura yang mengatakan bahawa Apple dan Samsung juga sedang mempertimbangkan pengambil-alihan syarikat tersebut. Walaupun nilai syarikat Intel kini dilihat sedang menurun dengan kadar yang teruk, mereka dilihat masih lagi memegang peratusan besar sektor komputer riba pengguna dengan penawaran-penawaran cip pemprosesan terbaru mereka seperti Meteor Lake dan Lunar Lake yang baru sahaja dilancarkan.

image is not available

Keunikan Intel hadir melalui pemilikan arkitektur cip pemprosesan komputer X86 yang digunakan secara meluas, manakala ia juga salah satu dari segelintir syarikat teknologi yang hadir dengan kemampuan untuk mengilangkan cip semikonduktor mereka tersendiri, walaupun buat masa ini, cip-cip pemprosesan Lunar Lake dan Arrow Lake-S dibina menggunakan proses teknologi TSMC.

Mereka dilihat sedang membangunkan proses 18A terbaru mereka, yang dijangka akan beroperasi pada pertengahan tahun hadapan, dan akan mula mengilangkan cip-cip pemprosesan akan datang seperti Intel Nova Lake kelak.

Untuk Qualcomm, kemampuan mereka memiliki IP X86 merupakan sesuatu yang besar, khususnya untuk Qualcomm kerana syarikat tersebut kini sedang melalui pergelutan dengan ARM kerana isu lesen teknologi.

Apple dan Samsung pula dilihat berminat untuk mengambil-alih Intel kerana kemampuan syarikat tersebut dalam mengilangkan cip-cip pemprosesan mereka sendiri. Bagi Apple, pengambilalihan ini dilihat sebagai satu cara untuk mengurangkan kebergantungan terhadap TSMC, manakala untuk Samsung pula, ini akan memberikan mereka satu kelebihan yang cukup tinggi untuk memiliki kilang pengeluaran semikonduktor yang sudah siap dibina di Amerika Syarikat.

Intel kini dilihat hadir pada nilai sekitar $90-99 bilion, dan untuk sebuah syarikat yang bertanggungjawab dalam membangunkan sektor perkomputeran pengguna dan industri, nilai tersebut dilihat cukup rendah dimana syarikat-syarikat bernilai beratus bilion ataupun trilion boleh memikir untuk mengambil-alihnya.

Buat masa ini, perkara ini masih lagi dilihat sebagai sebuah ura-ura, tetapi oleh kerana Intel boleh dikatakan sebuah aset strategik khususnya untuk kerajaan Amerika Syarikat, ia tidak mengejutkan untuk melihat bahawa terdapat banyak syarikat yang berminat untuk mengambilalihnya.