Pelancaran Apple Intelligence akan tiba lewat kepada pengguna iaitu pada bulan Oktober. Kepada yang tidak sabar menunggu, mereka kini boleh mencuba Apple Intelligence menerusi iOS 18, iPadOS 18 dan macOS 15.1 Developer Beta yang baru sahaja diberikan pagi ini.
Pembangun boleh mencuba beberapa ciri terpilih Apple Intellligence yang ingin diintegrasikan ke dalam perisian dan aplikasi yang sedang dibangunkan. Sebarang isu boleh diselesaikan sebelum Apple Intelligence diberikan kepada umum.

Antara ciri yang boleh diakses sekarang ialah Writing Tools yang membantu pengguna menulis dengan pilihan tona penulisan yang lebih profesional boleh dilakukan berbanding teks asal. Siri juga boleh diseru dengan antaramuka baharu dan ciri yang lebih pelbagai seperti yang ditawarkan sebelum ini.
Ciri transkripsi audio, Photos yang boleh mencari gambar tertentu dan menghasilkan Memories berdasarkan tarikh tertentu turut boleh diuji di dalam Photos menerusi Developer Beta. Ini masih bukan perisian akhir dan antara yang masih belum boleh digunakan ialah ciri menjana imej menggunakan prom dan sokongan ChatGPT.
