Apple telah membatalkan projek membina kereta rekaan sendiri tahun ini walaupun ia sudah dimulakan sejak 2016. Teknologi swapandu yang masih belum matang dan perubahan skop yang kerap menguburkan hasrat mereka yang ingin memiliki kereta berjenama Apple. Bagi mengesahkan lagi projek kereta ini sudah tidak diteruskan, Apple telah membatalkan permit ujian kereta swapandu mereka di California.

Permohonan membatalkan projek difailkan pada 25 September kepada JPJ California dan ia ditamatkan pada 27 September. Permit ujian telah diterima pada tahun 2017 dengan pada asalnya ia akan luput pada April 2025. Dengan tiada lagi kereta dibangunkan, tiada sebab untuk meneruskan permit yang diterima.
Setakat ini hanya Huawei dan Xiaomi sahaja merupakan dua pengeluar telefon pintar yang berjaya mengeluarkan kereta sendiri menerusi kerjasama pengeluar automotif tempatan. Apple dilaporkan ini bekerjasama dengan Hyundai Kia untuk membina kereta elektrik swapandu pertama. Tetapi gergasi automotif Korea ini enggan sekadar menjadi pengilang kepada Apple menyebabkan perbincangan antara kedua-dua syarikat dihentikan.
Sejak itu Hyundai telah melancarkan EV mereka sendiri dan berjaya menjadi antara 10 pengeluar EV terbesar dunia.



