Setiap tahun, salah satu acara yang dinantikan ramai adalah acara pelancaran telefon pintar oleh Apple, iaitu iPhone. Untuk tahun ini, ramai yang menantikan pengenalan telefon pintar dibawah siri iPhone 18 secara rasminya.

Mengikut perkongsian Bloomberg, Apple dijangka mengekalkan pengenalan siri iPhone pada minggu pertama September, iaitu pada 8 September 2026 atau 9 September 2026. Sebanyak tiga model akan menerima perhatian ramai, iaitu iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max, dan juga sebuah iPhone yang boleh dilipat.
Semestinya iPhone boleh-lipat akan menjadi fokus ramai, apatah lagi kali pertama Apple dijangka memperkenalkan peranti dibawah kategori berkenaan. Info penuh berkenaan pengenalan model ini masih tidak diketahui sepenuhnya. Apple sebelum ini telah diperkatakan menganjakkan pengenalan siri iPhone 18 biasa kepada awal tahun 2027, dan memberikan fokus terhadap siri “Pro” pada pengenalan September ini.
Dengan pengenalan pada awal September, Apple seterusnya boleh menawarkan peranti mereka kepada umum sekitar pertengahan atau penghujung September kelak – dan Malaysia dilihat akan menjadi antara yang terawal menerima peranti berkenaan, seperti tahun sebelumnya. Mengikut spekulasi awal juga, harga jualan iPhone 18 dijangka lebih mahal berbanding generasi sebelumnya, dan salah satu sebabnya adalah disebabkan oleh harga memori yang kian meningkat naik di pasaran.





