APU AMD Magnus Dikatakan Akan Menguasakan Konsol PlayStation 6, Xbox Akan Datang

TechnologyDigital
22 Jul 2025 • 2:20 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Seperti yang sedia maklum, cip pemprosesan APU AMD dilihat menguasakan kebanyakan konsol-konsol permainan sekarang, dari Sony PlayStation 5, Microsoft Xbox Series X/S dan juga sejumlah konsol-konsol PC mudah-alih yang berada di pasaran sekarang.

Terkini, terdapat ura-ura baru bahawa AMD sedang membangunkan sebuah lagi APU baru yang dijangka akan menguasakan konsol-konsol Sony dan Microsoft di masa akan datang, yang dinamakan AMD Zen 6 Magnus.

image is not available

Maklumat ini ditiriskan oleh saluran YouTube teknologi komponen komputer terkemuka Moore’s Law Is Dead dan mereka mengatakan bahawa cip pemprosesan tersebut akan hadir dengan gabungan cip CPU AMD Zen 6 yang akan diperkenalkan kelak, bersama-sama dengan cip pemprosesan grafik yang belum diketahui lagi setakat ini.

Moore’s Law Is Dead mengatakan lagi bahawa CPU tersebut akan hadir dengan 11 teras yang merupakan gabungan tiga teras Zen 6 dan lapan teras Zen 6 C, yang boleh dilihat sebagai teras kecekapan AMD.

Walaupun begitu, seorang lagi peniris maklumat komponen komputer, Kelper_L2 di X mengatakan bahawa terdapat juga kebarangkalian bahawa CPU yang ditunjukkan ini akan digunakan untuk menguasakan konsol Xbox yang akan datang.

image is not available

Ini mungkin benar kerana kod nama yang digunakan untuk cip pemprosesan PlayStation secara lazimnya menggunakan nama daripada karya-karya Shakespeare seperti Oberon, yang merupakan kod nama untuk konsol PlayStation 5, yang juga merupakan watak Raja Pari-Pari dari karya A Midsummer Night’s Dream.

Apa-apa pun, konsol-konsol PlayStation dan Xbox akan datang dijangka akan dikuasakan dengan gabungan cip pemprosesan AMD Zen 6 dan juga mungkin RDNA 4 atau 5 apabila ia dilancarkan kelak.