Arahan tangkap penagih setiap hari sesuai dengan situasi Kelantan

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 5:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Arahan tangkap penagih setiap hari sesuai dengan situasi Kelantan

BUKIT KAYU HITAM – Pendekatan polis Kelantan mewajibkan 56 ketua balai polis menangkap seorang penagih dadah setiap hari bermula 15 Julai lalu adalah bersesuaian dengan tahap masalah dadah di negeri itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau memahami bahawa tindakan yang diambil Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat itu adalah berdasarkan tahap keseriusan masalah penagihan dadah di negeri tersebut.

“Di Kelantan hampir tiada kampung yang terlepas daripada masalah ini. Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang dan Rantau Panjang adalah antara jajahan yang mencatatkan angka penyalahgunaan dadah serta bahan yang serius.

“Bahkan keadaan itu turut dapat dilihat menerusi jumlah penghuni penjara apabila Penjara Pengkalan Chepa merupakan antara penjara paling sesak di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat, Kedah Sejahtera yang disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di Felda Bukit Tangga, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, penjara tersebut menempatkan tahanan reman dan banduan yang telah dijatuhi hukuman.

“Bagi setiap 100 penghuni penjara itu, 75 peratus terlibat dengan kesalahan dadah sama ada di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan atau Seksyen 12(2) akta sama iaitu memiliki dadah secara kecil-kecilan.

“Dua seksyen ini mencatatkan kes paling tinggi. Satu lagi ialah Penjara Machang dengan setiap 100 penghuninya, kira-kira 95 peratus membabitkan kesalahan dadah,” ujarnya.

Mengulas sama ada pendekatan sama perlu diambil oleh polis di negeri lain, beliau berkata, perkara itu perlu diputuskan berdasarkan pemetaan, pemprofilan dan situasi penyalahgunaan dadah di negeri masing-masing.

“Mereka mempunyai pemetaan, pemprofilan dan semua maklumat yang diperlukan sebelum sesuatu tindakan diputuskan. Sama ada mereka mahu mengguna pakai pendekatan seperti di Kelantan atau mengekalkan kaedah sedia ada, perkara itu akan diputuskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berdasarkan data dan penilaian mereka,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Kedah terus berdepan ancaman serius penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang apabila sebanyak 11,524 kes direkodkan sepanjang suku pertama tahun ini, meskipun menunjukkan penurunan enam peratus berbanding 12,259 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Di peringkat nasional, Agensi Antidadah Kebangsaan merekodkan seramai 100,882 penagih dan penyalahgunaan dadah atau bahan bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 berbanding 108,409 orang dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 6.9 peratus. – KOSMO! ONLINE

The post Arahan tangkap penagih setiap hari sesuai dengan situasi Kelantan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved