
PETALING JAYA: Dua beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King dan Ong Xin Yee-Carmen Ting melepasi halangan awal selepas menundukkan pencabar masing-masing pada peringkat 64 terbaik Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, hari ini.
Gandingan lelaki No. 19 dunia, Arif-Roy King yang bergabung kembali demi kejuaraan dunia mudah membenam wakil Vietnam, Dinh Hoang Nguyen-Dinh Manh Tran 21-9, 21-13 dalam masa 25 minit.
Bagaimanapun, ujian sebenar Arif-Roy King adalah berdepan beregu muda Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang menghuni ranking No. 12 dunia di pusingan kedua, Rabu ini.
Kedua-dua pasangan belum pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa dan tidak mudah sebenarnya bertemu Raymond-Nikolaus yang telah berulang kali membuktikan mereka bukanlah calang-calang pencabar apabila pernah membenam beberapa beregu handalan dunia.
Dengan hanya kesilapan kecil, bakal menghukum Arif-Roy King dan penting untuk mereka berbincang dengan ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi bagi mencari taktikal terbaik mengatasi Raymond-Nikolaus.
Sementara itu, dalam saingan beregu wanita pula, gandingan muda Malaysia, Xin Yee-Carmen yang melakukan penampilan sulung pada kejuaraan dunia menewaskan Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr dari Ukraine 21-17, 21-12 dalam masa 33 minit.
Ini merupakan kemenangan ketiga Xin Yee-Carmen yang merupakan pasangan No. 23 dunia ke atas gandingan ke-27 dunia, Buhrova-Kantemyr.
Seperti mana Arif-Roy King, laluan Xin Yee-Carmen juga berliku pada peringkat 32 terbaik apabila dijadual menentang beregu No. 2 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun.
Satu perlawanan yang boleh disifatkan sebagai pertembungan dua generasi berbeza, Xin Yee-Carmen sebelum ini pernah bertemu Fukushima-Matsumoto sewaktu di All England, Mac lalu yang berkesudahan mereka tumpas straight set 17-21, 8-21 di pusingan awal. – UTUSAN
The post Arif-Roy King, Xin Yee-Carmen lepasi halangan awal di Kejohanan Dunia appeared first on Utusan Malaysia.




