Tiga wakil Malaysia ke separuh akhir Korea Masters

7 Aug 2026 • 6:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga wakil Malaysia ke separuh akhir Korea Masters

PETALING JAYA: Dua beregu lelaki pecah ganding, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik dan Tee Kai Wun-Yap Roy King semakin mempamerkan keserasian, selepas kali pertama mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Korea Masters di Asan, Korea Selatan, hari ini.

Wei Chong-Wooi Yik yang bergelut untuk mencari persefahaman melakar kemenangan mudah ke atas beregu India, Krishna Prasad Garaga-Pruthvi Krishnamurthy Roy 21-7, 21-8 dalam masa 26 minit di suku akhir.

Namun, beregu itu bakal berdepan ujian sebenar di separuh akhir, esok, apabila dijadual menentang pasangan muda Jepun, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa yang menyingkirkan Wei Chong-Wooi Yik di peringkat 32 terbaik Terbuka Taiwan, minggu lalu.

Kai Wun-Roy King pula mengetepikan rakan senegara, Aaron Chia-Aaron Tai 21-12, 21-15 dalam masa 28 minit dalam satu lagi suku akhir dan mereka akan bertemu Shuji Sawada-Daigo Tanioka juga dari Jepun.

Beregu bimbingan ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi itu belum pernah menentang gandingan muda Jepun tersebut dan seandainya berjaya memburu slot final, tidak mustahil pertembungan dua pasangan Malaysia dapat direalisasikan, jika Wei Chong-Wooi Yik turut berhasil menumbangkan lawan mereka.

Selain beregu, Malaysia juga mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki apabila Cheam June Wei mengejutkan pemain No. 42 dunia, Su Li Yang dari Taiwan 23-21, 10-21, 21-18 dalam masa 1 jam 7 minit.

June Wei yang menghuni ranking ke-72 dunia akan berdepan pemain muda China, Zhu Xuan Chen yang berada di tangga No. 68 dunia di separuh akhir.

Jika rekod pertemuan kedua-dua pemain menjadi kayu pengukur, June Wei tidak mempunyai pencapaian yang baik bertemu Xuan Chen apabila pernah kalah dua kali.

Namun, apa sahaja boleh berlaku, esok, seandainya prestasi baik yang dipamerkan pemain profesional itu sejak tiba di Korea Selatan mampu dikekalkan.

Bagaimanapun, dalam sektor beregu campuran, kesemua pasangan Malaysia tersingkir di peringkat lapan terbaik selepas tunduk kepada lawan masing-masing.

Pasangan pecah ganding, Chen Tang Jie-Clarissa San yang mengintai laluan ke separuh akhir buat kali pertama gagal berbuat demikian setelah mereka tewas kepada beregu Jepun, Haruki Kawabe-Kokona Ishikawa 20-22, 17-21 dalam masa 35 minit.

Nasib malang itu berjangkit pula kepada beregu muda, Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan yang turut ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan No. 36 dunia, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying dari China 14-21, 15-21 dalam masa 28 minit.

Satu lagi wakil negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin pula kalah di tangan pasangan tuan rumah, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong 17-21, 18-21 dalam masa 43 minit. – UTUSAN

The post Tiga wakil Malaysia ke separuh akhir Korea Masters appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved