Arkitek nafi ‘sentuh’ anak lelaki pegawai polis

23 Oct 2026 • 12:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Arkitek nafi ‘sentuh’ anak lelaki pegawai polis

AMPANG – Seorang arkitek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan anak lelaki seorang pegawai kanan polis di sebuah gimnasium minggu lalu.

Tertuduh Datuk Saiful Anuar Abdul Aziz, 61, yang merupakan seorang arkitek membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Nur Ain Ariffin.

“Faham, tidak bersalah,” kata tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang juga lelaki berusia 18 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan dirinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik sauna sebuah gimnasium di Taman Melawati di sini pukul 7.10 malam pada 18 Oktober lalu yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya, Ramanathan Alias Ashwin Muthupalaniappan menawarkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan dilarang menganggu saksi dan mangsa serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguam K.Theivaendran yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu dengan alasan tertuduh menanggung ibu selain tidak mempunyai risiko melarikan diri (flight risk).

“Pihak kami turut membantah syarat tambahan penyerahan pasport memandangkan anak tertuduh bekerja sebagai arkitek dan mempunyai projek di luar negara,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Siti Nur Ain membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Tarikh 26 November ini ditetapkan sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung kes lelaki warga emas yang didakwa mencabul anak pegawai kanan polis di sebuah pusat gimnasium di Melawati.

Ia selepas pegawai kanan polis itu menahan lelaki warga emas berusia 61 tahun yang didakwa mencabul anak lelakinya di lokasi kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di pusat gimnasium sebelum dicabuli lelaki itu. – KOSMO! ONLINE

The post Arkitek nafi ‘sentuh’ anak lelaki pegawai polis appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved