liza03/11/2026 - 14:06 Kerjasama itu juga dijangka melengkapi pelancaran projek hartanah Armani Group yang akan datang serta pembangunan sedia ada, khususnya bagi memenuhi permintaan pembeli rumah dan pelabur yang ingin mengembangkan portfolio hartanah syarikat Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov – Armani Group menjalin kerjasama strategik dengan MBSB Bank Berhad bagi menawarkan kemudahan pembiayaan perumahan sehingga 100% kepada pembeli yang layak menerusi program Home Advance 100 untuk memudahkan akses pemilikan rumah.
Kerjasama itu turut memperkenalkan kemudahan pembiayaan Home Financing-i dan Home Advance 100 kepada pembeli projek pembangunan terpilih Armani Group.
Menerusi program berkenaan, pembeli yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga 100% khususnya bagi mereka yang ingin membeli rumah pertama atau kedua, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti dalam menguruskan komitmen kewangan awal pembelian hartanah.
Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan MBSB, Usman Ghouse berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bank berkenaan untuk menjadikan pemilikan rumah lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, program Home Advance 100 membolehkan pembeli yang layak mendapatkan pembiayaan bagi pembelian hartanah kediaman pertama atau kedua dengan nilai antara RM500,000 hingga RM1.5 juta.
“Selain pakej pembiayaan berkenaan, program itu turut membolehkan pelanggan membiayai kos sampingan tertentu yang layak berkaitan kemudahan tersebut sehingga 5% daripada nilai yang lebih rendah antara harga jual beli (SPA) atau nilai pasaran terbuka hartanah,” katanya dalam satu kenyataan.
Permudahkan akses pembiayaan pembeli rumah
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Armani Hallson BB Sdn Bhd, Datuk Seri Azlan Azmi berkata pembelian hartanah merupakan komitmen kewangan besar dan akses kepada pembiayaan yang bersesuaian sama penting dengan pemilihan kediaman.
Beliau berkata, kerjasama dengan MBSB Bank diharap dapat memudahkan proses pembelian menerusi akses lebih baik kepada khidmat nasihat serta penyelesaian pembiayaan yang memenuhi keperluan pelanggan.
Menurutnya, selain membangunkan hartanah berkualiti, pihaknya turut melihat kepentingan membantu pembeli mengambil langkah ke arah pemilikan rumah dengan lebih yakin.
Kerjasama itu juga dijangka melengkapi pelancaran projek hartanah Armani Group yang akan datang serta pembangunan sedia ada, khususnya bagi memenuhi permintaan pembeli rumah dan pelabur yang ingin mengembangkan portfolio hartanah mereka.
Armani Group perluas portfolio kediaman mewah
Dalam perkembangan berkaitan, Armani Group terus mengembangkan kehadirannya dalam segmen hartanah mewah di Kuala Lumpur menerusi pembangunan Armani Hallson KLCC yang mula diperkenalkan pada 2025.
Projek berkenaan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM3 bilion dan terletak dalam kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur, kira-kira 300 meter dari Menara Berkembar PETRONAS.
Armani Group turut merancang memperkenalkan Armani Hallson Bukit Bintang sebagai tambahan terbaharu kepada portfolio pembangunan kediaman mewahnya. Projek itu terletak di tengah-tengah kawasan Bukit Bintang, berhampiran Jalan Alor.
Armani Group merupakan pemaju hartanah bersepadu di Malaysia dengan portfolio merangkumi kediaman bertingkat tinggi, rumah bertanah, taman perindustrian dan rumah kedai komersial. - DagangNews.com




