
Dua anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor cedera ketika menjalankan Ops Tiris 4.0 bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi gas petroleum cecair (LPG) melalui aktiviti decanting.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Penolong Pegawai Penguat Kuasa (PPP), Mohammad Fauzi Baharuddin mengalami kecederaan agak serius dan masih menerima rawatan.
Katanya, Pembantu Penguat Kuasa (PmP), Yoghanath A/L Ravindran pula mengalami kecederaan ringan dan sudah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan.
“Saya menzahirkan rasa dukacita dan simpati atas insiden yang menimpa dua anggota penguat kuasa KPDN Selangor ketika menjalankan Ops Tiris 4.0 bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi LPG melalui aktiviti decanting.
“Lebih meruntun hati apabila amanah yang dilaksanakan berakhir dengan insiden yang menyaksikan anggota KPDN sendiri tercedera,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurut Armizan, beliau mendoakan Mohammad Fauzi diberikan kesembuhan sepenuhnya serta kekuatan sepanjang menjalani proses rawatan.
“Pada keluarga beliau, saya memahami keresahan dan kebimbangan yang sedang dilalui ketika ini. Semoga terus diberikan kekuatan dan ketabahan.
“Kepada Yoghanath, semoga terus diberikan kesihatan yang baik dan kembali pulih seperti sediakala,” ujarnya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, insiden berkenaan menggambarkan risiko sebenar yang dihadapi warga penguat kuasa KPDN ketika menjalankan tugas di lapangan.
Jelasnya, setiap anggota bukan sahaja melaksanakan amanah bagi memastikan ketirisan barang kawalan bersubsidi dibendung, malah berdepan pelbagai risiko ketika menjalankan operasi penguatkuasaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga penguat kuasa KPDN atas keberanian dan pengorbanan dalam melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.
“Di sebalik uniform yang dipakai, ada keluarga yang menanti kepulangan kalian dengan selamat. Setiap amanah yang dilaksanakan dan setiap risiko yang ditempuh membawa nilai dan makna yang besar kepada rakyat dan negara.
“Semoga Allah SWT melindungi seluruh warga KPDN yang sedang menjalankan tugas dan mengurniakan kesembuhan sepenuhnya khusus kepada Mohammad Fauzi,” katanya.





