
PETALING JAYA – Dua anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dilaporkan cedera ketika menjalankan Ops Tiris 4.0.
Operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi gas petroleum cecair melalui aktiviti decanting.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Mohammad Fauzi Baharuddin mengalami kecederaan yang agak serius dan kini masih menerima rawatan.
Pembantu Penguat Kuasa, Yoghanath Ravindran pula kata beliau, cedera ringan dan telah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan.
“Saya menzahirkan rasa dukacita dan simpati atas insiden yang menimpa. Doa saya bersama Mohammad Fauzi agar diberi kesembuhan sepenuhnya dan kekuatan untuk melalui proses rawatan.
“Kepada keluarga beliau, saya memahami keresahan dan kebimbangan yang sedang dilalui ketika ini. Semoga terus diberikan kekuatan dan ketabahan.
“Kepada Yoghanath, semoga terus diberikan kesihatan yang baik dan kembali pulih seperti sediakala,” katanya menerusi Facebook, semalam.
Dalam pada itu beliau berkata, insiden berkenaan memberi gambaran tentang risiko sebenar yang dihadapi warga penguat kuasa KPDN setiap kali turun ke lapangan.
Beliau turut berkesempatan mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga penguat kuasa KPDN dan mendoakan keselamatan mereka ketika bertugas.
“Di sebalik setiap serbuan dan operasi, ada anggota meninggalkan keluarga untuk menjalankan amanah, berhadapan dengan keadaan tidak dijangka, mempertaruhkan keselamatan diri demi melindungi kepentingan rakyat dan negara.
“Kepada seluruh warga penguat kuasa KPDN, terima kasih atas keberanian dan pengorbanan kalian. Semoga Allah SWT melindungi seluruh warga KPDN yang sedang bertugas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Armizan dukacita, dua anggota KPDN cedera ketika Ops Tiris 4.0 appeared first on Kosmo Digital.






