
PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menolak dakwaan bahawa sebarang tuntutan hak berkaitan minyak dan gas oleh Sabah dan negeri lainnya, akan ‘meruntuhkan’ Petronas.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, sebaliknya, Sabah akan meneruskan kerjasama komersial dengan Petronas yang telah dimeterai pada 2021 lalu hasil inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
“Kita menolak dakwaan bahawa apa yang dituntut dan dihasratkan oleh negeri-negeri, termasuk Sabah, boleh meruntuhkan Petronas yang dianggap ‘angsa bertelur emas’.
“Sebaliknya, kita akan terus tingkatkan kerjasama dengan Petronas dengan prinsip Sabah mempunyai suara lebih besar, penglibatan lebih aktif dan perkongsian keuntungan yang lebih tinggi.
“Kita tidak ada niat meruntuhkan Petronas, hasrat kita adalah setelah lebih 50 tahun, sudah tiba masanya Petronas membantu melahirkan ‘angsa baharu bertelur emas’ yang dimiliki Sabah iaitu SMJ Energy Sdn. Bhd.
Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, Sabtu.
Khamis lalu, Hajiji di Majlis Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Sabah ke-28 telah membangkit penglibatan besar Sabah dalam industri minyak dan gas hasil pemeteraian kerjasama dengan Petronas pada 2021 lalu.
Awal tahun ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin memberi amaran Petronas akan ‘lemah’ susulan rundingan penyelesaian di antara Sarawak dan Putrajaya dalam tuntutan hak wilayah itu di atas sumber minyak dan gas dalam sempadannya.
Bekas Perdana Menteri itu berpendapat sebarang tuntutan oleh negeri-negeri perlu penyelesaian adil dan saksama tanpa perlu “membunuh angsa bertelur emas” kerana Petronas adalah penyumbang besar pembangunan negara.
Bagaimanapun berlaku percanggahan dalam kenyataan itu, apabila Muhyiddin pada Perhimpunan Agung Bersatu, baru-baru ini mengumumkan pengembalian 40 peratus hasil kepada Sabah selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pengerusi Perikanan Nasional (PN) itu berkata, pengembalian hak yang turut melibatkan minyak dan gas itu sebagai tawaran kepada rakyat Sabah sempena pilihan raya negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Dalam pada itu, Armizan yang juga Menteri KPDN berkata, kerjasama komersial antara Sabah dan Petronas itu telah membuka lonjakan baharu Sabah dalam industri minyak dan gas di wilayah ini.
Menurutnya, kejayaan itu susulan perjumpaan Hajiji dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun serta beliau sendiri bersama kepimpinan Petronas di tahun yang sama sebelumnya.
“Kita telah menyerahkan secara bertulis aspirasi dan tuntutan Sabah berkaitan industri minyak dan gas kepada Petronas pada masa itu dan mereka menyambut baik kerana buat pertama kali mereka menerima kerangka menyeluruh syor dan cadangan itu.
“Tuntutan itu lebih mudah difahami dan dipenuhi berbanding suara atau tuntutan yang didengar secara lisan melalui ucapan-ucapan di pelbagai platform oleh pihak-pihak tertentu.
“Perjumpaan tersebut telah menjadi asas kepada termeterainya Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani antara Kerajaan Negeri Sabah dan Petronas pada 7 Disember 2021,” katanya.
Armizan berkata, CCA digerakkan melalui pelbagai jawatankuasa tetap dengan mesyuarat tetap berkala dan melibatkan Ketua Menteri secara langsung di peringkat jawatankuasa tertinggi.
Katanya, SMJ Energy Sdn Bhd, anak syarikat Kerajaan Negeri juga telah diamanahkan untuk menyelaras dan memantau setiap strategi penyertaan dan pemilikan Sabah di keseluruhan rantaian industri minyak dan gas Sabah.
“Kini, Sabah bukan hanya bercerita tentang hak royalti dan cukai jualan negeri semata, tetapi meliputi aspek dan perkara yang lebih meluas hasil kerjasama dengan Petronas ini.
“Ia dimaknai dengan pegangan dan peningkatan ekuiti dalam pelbagai ekplorasi gas dan minyak di wilayah ini selain peningkatan berkali ganda penyertaan syarikat-syarikat kontraktor tempatan, yang kini mencecah lebih 1,000 syarikat,” katanya.

