
CARDIFF – Kemahuan pemain menjadi faktor utama kepada kejayaan Arsenal yang memenangi Perisai Komuniti selepas menewaskan Manchester City 3-0 pada aksi di Stadium Millennium, kelmarin.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji kesungguhan pemain yang menzahirkan keazaman untuk pastikan pasukan berada pada tahap terbaik bagi melunaskan harapan pertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
“Saya gembira dengan prestasi, keputusan dan kejayaan memenangi trofi pertama. Kita bercakap tentang keinginan kami untuk memulakan musim dengan baik dan saya dapat lihat banyak perkara positif.
“Itulah standard sebenar buat kami dan bagi saya, jika kami mampu mencapai tahap itu, kami akan jadi pasukan yang cukup kompetitif. Kami tahu apa yang bakal kami hadapi untuk capai sesuatu yang istimewa, namun kami sebenarnya sudah bersedia,” katanya.
Arsenal kini sedang mengintai untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak kali terakhir melakukannya ketika memenangi aksi divisyen utama pada musim 1934/35.
Riccardo Calafiori, Kai Havertz dan Martin Odegaard masing-masing menyumbangkan satu gol, namun perkara positif buat Arsenal pastinya menjurus kepada kualiti dijelmakan oleh pemain baharunya, Christos Tzolis yang terbabit dalam semua tiga jaringan terhasil.
“Dia (Tzolis) pemain yang sangat bijak dan memiliki kualiti. Apabila dia berada 20 ke 30 meter (daripada gawang lawan) dia cukup tenang untuk mencari rakan, sama ada di dalam atau pun kawasan sekitar kotak penalti.
“Sentuhannya juga cukup bagus dan dua atau tiga kami dia sudah tunjukkan apa yang dia miliki,” katanya. – AGENSI
The post Arsenal pamer keinginan besar appeared first on Kosmo Digital.




