
Kapsul angkasa Integrity Artemis II telah memulakan perjalanan empat hari untuk mengelilingi bulan, dan ia akan melakukan pelbagai pemerhatian tentang satelit semulajadi kita, dan akan merakamkan banyak video beresolusi tinggi.
Pihak NASA telah mengesahkan bahawa kapsul angkasa tersebut akan menggunakan teknologi transmisi data berasaskan pancaran laser dari kapsul angkasa tersebut, yang hadir dengan kadar kelajuan penghantaran data 260Mbps untuk menghantar rakaman video siaran langsung beresolusi 4K secara terus kepada mereka.

Teknologi penghantaran data ini, yang dinamakan Orion Artemis II Optical Communications System (O2O) dibangunkan berdasarkan teknologi komunikasi laser Deep Space Optical Communication yang telah berjaya digunakan untuk menghantar dan menerima data daripada kapal angkasa Psyche yang dihantar untuk mengelilingi planet Marikh dan telah melepasi jarak 226 juta kilometer.
Teknologi penghantaran data O2O ini juga akan digunakan untuk tujuan-tujuan lain seperti penghantaran dan penerimaan prosedur, gambar, pelan penerbangan dan lain-lain.
Rakaman video akan dilakukan menggunakan kamera digital Nikon D5 manakala perkakasan rakaman lain seperti Apple iPhone 17 Pro dan kamera digital GoPro juga akan digunakan sebagai alat rakaman sekunder.

Dalam pada itu, stesen-stesen laser darat yang akan menerima transmisi data laser ini terletak di Las Cruces, New Mexico dan Table Mountain, California. Lokasi-lokasi tersebut dipilih kerana langit yang sentiasa cerah, dan ia merupakan satu faktor penting untuk komunikasi laser yang pantas.
Satu kekurangan sistem O2O ini adalah apabila kapsul Artemis II mengelilingi bahagian belakang bulan yang akan menghalang sebarang komunikasi laser diantara kapsul tersebut dan stesen laser darat selama 41 minit. Sebagai langkah berjaga-jaga, kapal tersebut juga telah dimuatkan dengan sistem komunikasi radio sekiranya ada apa-apa yang berlaku kepada sistem komunikasi laser O2O tersebut.

