Awal pagi tadi kami laporkan iPhone 17 Pro dibawa dalam Misi Artemis II sebagai telefon pitar pertama akan mengelilingi bulan. Selain telefon terkini Apple, beberapa lagi produk fotografi dan teknologi dibawa oleh krew untuk melakukan rakaman misi bersejarah kali pertama manusia kembali ke bulan sejak 1972.

Senarai rasmi yang dikongsi oleh NASA menunjukkan selain iPhone 17 Pro, krew akan menggunakan komputer tablet Microsoft Surface Pro, dua kamera Nikon D5, dan beberapa kamera aksi GoPro. Kesemua kelengkapan yang dibawa sudah agak berusia (Nikon D5 dilancarkan pada tahun 2016) kerana senarai kelengkapan diluluskan pada tahun 2023 selepas menjalani proses pentauliahan program angkasa lepas NASA yang ketat.
Surface Pro digunakan untuk mengakses aplikasi pejabat, sistem PFC, PMC, menyimpan gambar DSLR imagery, melihat semula gambar ditangkap serta video dirakam dan mengawal kamera dalam kabin kapsul Integrity.

Selain itu 10 keping kad memori sebesar 256GB turut dibawa untuk tujuan rakaman pada resolusi 4K. Untuk penstriman secara langsung yang akan dilakukan, NASA menetapkan kamera Nikon D5 perlu diturunkan resolusi ke 1080p sahaja bagi menjimatkan penggunaan lebar jalur. Setiap kamera juga hadir dengan dua pilihan lensa 14-24mm dan 80-400mm.
Akhir sekali kamera GoPro hanya digunakan untuk rakaman video dokumentari yang diterbitkan oleh National Geographic serta Disney+ yang akan diterbitkan kelak.
Kapsul angkasa lepas Integrity sudah memulakan perjalanan ke bulan yang mengambil masa 4 hari dengan ia dijangka mendarat semula ke bumi pada 11 April depan.

