Arul Kumar dilantik Pengerusi DAP Negeri Sembilan

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 1:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Arul Kumar dilantik Pengerusi DAP Negeri Sembilan

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar dilantik sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Anthony Loke Siew Fook yang melepaskan jawatan itu pada 3 Ogos lalu.

Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pelantikan Arul Kumar diputuskan secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Negeri DAP Negeri Sembilan selepas hanya seorang calon dikemukakan bagi mengisi kekosongan berkenaan.

Menurutnya, pelantikan itu membuktikan DAP terus komited memperjuangkan politik berbilang kaum dengan pemilihan pemimpin berdasarkan kelayakan dan kebolehan tanpa mengira latar belakang.

“Pemilihan Arul Kumar adalah sesuatu yang amat positif dan membuktikan bahawa DAP adalah sebuah parti berbilang kaum. Kami menerima seseorang itu daripada segi kebolehan dan kewibawaan.

“Jadi saya akan memberikan sokongan sebagai Setiausaha Agung dan juga sebagai Ahli Parlimen Seremban akan memberikan sokongan penuh kepada pimpinan baru, kepada pengurusi baru dan saya yakin beliau boleh memikul tanggungjawab ini dengan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP Negeri Sembilan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas ADUN Chennah berkata, Pusat Khidmat DAP Chennah akan terus beroperasi bagi membantu penduduk setempat termasuk dalam urusan permohonan bantuan kerajaan.

“Papan tanda pusat khidmat akan ditukar sebagai Pusat Khidmat DAP Chennah. Jadi kami masih mengekalkan khidmat kami di atas kapasiti parti, di atas landasan parti” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, Anthony Loke gagal mempertahankannya kerusi DUN Chennah yang disandangnya selepas tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon.

Beliau dalam pada itu berkata, Arul Kumar bersama ADUN DAP lain akan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Ismail Lasim.

Katanya, ia bertujuan bagi membincangkan bentuk kerjasama antara kerajaan negeri dan pembangkang demi kestabilan serta kemajuan negeri.

Sementara itu, Arul Kumar berkata, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui DAP Negeri Sembilan.

Katanya, tanggungjawab itu besar dan beliau berharap mendapat sokongan semua ahli jawatankuasa bagi memastikan parti terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kami akan berusaha dengan sebaik mungkin dan memberikan perkhidmatan yang terbaik walaupun kami pada hari ini berada dalam barisan pembangkang.

“Bagi DAP, ini bukan sesuatu yang baharu kerana kebanyakan kami pernah menjadi pembangkang sebelum ini,” katanya.-UTUSAN.

The post Arul Kumar dilantik Pengerusi DAP Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved