
KUALA LUMPUR: Nasib DAP dalam Kerajaan Perpaduan bakal ditentukan 4,264 perwakilan parti menerusi pengundian secara rahsia pada Persidangan Kebangsaan DAP, Ahad ini.
Usul sama ada parti itu akan kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal atau sebaliknya akan dibawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, kesemua perwakilan daripada 1,704 cawangan itu akan diberi peluang membuat keputusan berhubung hala tuju parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dipanggil.
Beliau berkata, persidangan pada 16 Ogos ini turut membincangkan isu di peringkat Persekutuan selain menjadi sebahagian sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan DAP.
“Seramai 4,264 perwakilan itu berdasarkan senarai kelayakan 2025 kerana semua mesyuarat agung tahunan (AGM) cawangan DAP baru selesai pada pertengahan Jun lalu.
“Jadi, senarai nama terbaharu belum dapat disediakan dan kita menggunakan senarai kelayakan 2025. Semua perwakilan ini dipilih setiap cawangan untuk mewakili mereka dalam persidangan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Malaysia di Jalan Yew, Pudu, di sini hari ini.
Menurutnya, keputusan berhubung kedudukan DAP dalam Kerajaan Persekutuan tidak akan dibuat menerusi undian suara atau angkat tangan, sebaliknya setiap perwakilan akan diberikan kertas undi untuk membuat pilihan secara rahsia.
“Kita akan menyerahkan kepada semua perwakilan yang hadir untuk membuat keputusan sama ada kita akan kekal dalam Kerajaan Persekutuan ataupun keluar.
“Kita mahu memastikan semua suara ahli dari setiap penjuru dan negeri didengari sebelum keputusan dibuat,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata, proses pengundian dijangka mengambil masa kira-kira dua jam selepas sesi perbahasan.
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan semua perwakilan yang hadir mendapat kertas undi dan peluang mengundi, termasuk mengambil langkah sewajarnya sekiranya proses berdepan jumlah pengundi yang ramai.
“Kita akan menerima keputusan daripada delegasi dan perwakilan,” katanya. – UTUSAN
The post 4,264 perwakilan tentukan nasib DAP dalam kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.






